Bulan Ramadan menjelma lagi tahun ini dan umat Islam di seluruh dunia kini sibuk menjalani ibadah puasa selama sebulan.
Selain menjalani ibadah, setiap daripada khususnya rakyat Malaysia pasti mempunyai memori menonton rancangan kegemaran di televisyen sepanjang bulan Ramadan.
Banyak program televisyen ikonik yang masih berbekas di hati kita sehingga hari ini tidak kira sama ada program dokumentari, memasak, drama dan telefilem.
Minggu ini, HibGlam menyenaraikan lima buah program ikonik yang sinonim dengan bulan Ramadan.
- Diari Ramadan Rafique
Drama bersiri Diari Ramadan Rafique mula bersiaran di TV3 pada tahun 2006 dan mencipta fenomena tersendiri.
Diarahkan oleh M. Hitler Zami, drama ini menampilkan pelakon kanak-kanak Mirsad Hassan sebagai pelakon utama memegang watak Rafique.
Selain Mirsad, drama ini turut dibintangi oleh pelakon popular seperti Rozita Che Wan, Roy Azman, Normah Damanhuri, Zed Zaidi, Norish Karman dan Zaryn Min.
Diari Ramadan Rafique menceritakan kisah seorang kanak-kanak hasil perkahwinan campur pulang ke kampung halamannya. Di situ, dia terpaksa menjalani kehidupan bersama nenek dan sepupu-sepupunya sepanjang bulan Ramadan.
Lagu tema drama ini turut mencuri perhatian ramai dan dinyanyikan oleh Bella Astillah ketika dia masih kanak-kanak.
- Jejak Rasul
Siapa sahaja yang tidak pernah menonton rancangan dokumentari tentang kisah para Rasul di bumi Anbia ini. Mendengar muzik temanya sahaja sudah boleh menggamit memori ketika bulan Ramadan.
Jejak Rasul mula ditayangkan di TV3 pada 21 Januari 1996 dan masih kekal sehingga kini setiap kali menjelang bulan Ramadan.
Pengacara Zainal Ariffin mengemudikan rancangan ini selama lebih 10 tahun. Antara pengacara yang pernah menjadi hos rancangan ini ialah Ahmad Noor Sulaiman, Nizal Muhammad dan Ahmad Fedtri Yahya.
- Rumah Kedai
Drama Rumah Kedai ini mula ditayangkan di TV3 bermula pada tahun 1988 dan kekal selama lapan musim sehingga tahun 1995.
Rumah Kedai mendapat perhatian ramai kerana ditayangkan sebelum waktu berbuka puasa setiap hari sepanjang Ramadan.
Selain jalan cerita yang menarik, drama ini turut dibintangi pelakon-pelakon handalan seperti Yusof Mohamad, Kartina Aziz, Rosnah Mat Aris, Khatijah Tan dan Harun Salim Bachik.
- Ketuk-Ketuk Ramadan
Tidak sah rasanya para suri rumah jika tidak menonton rancangan masakan nombor satu sepanjang Ramadan iaitu Ketuk-Ketuk Ramadan.
Dihoskan pelakon dan penerbit, Sheila Rusly, program ini disiarkan sepanjang bulan Ramadan di TV1.
Sebelum dikenali sebagai Ketuk-Ketuk Ramadan, rancangan ini dikenali sebagai Citarasa Selebriti dan memulakan tayangannya pada tahun 2005.
Teletah lucu dan bersahaja Sheila memasak bersama artis jemputan sentiasa mencuit perhatian penonton sekali gus menjadikan program ini sentiasa dinantikan setiap hari sepanjang Ramadan.
Rancangan ini bertahan selama 15 tahun sehingga tahun 2019. Menurut Sheila, dia terpaksa menghentikan siaran Ketuk-Ketuk Ramadan atas faktor kos produksi yang meningkat.
- 16 Puasa
SEBUT sahaja telefilem 16 Puasa, pasti ramai yang akan teringat watak Barkoba lakonan Bell Ngasri. Gara-gara watak itu jugalah Bell dicop sebagai ikon ‘tak puasa’ Geng Plastik Hitam.
Telefilem 16 Puasa ditulis dan diarahkan pengarah terkenal, Allahyarham Mamat Khalid. Naskhah ini ditayangkan pada tahun 2017 di saluran Astro Citra dan turut dibintangi oleh Sabri Yunus, Aziz M. Osman dan Rab Khalid.
16 Puasa adalah kesinambungan 15 Puasa yang dilakonkan oleh Adlin Aman Ramlie pada tahun 2005.
Telefilem yang sarat dengan pengajaran ini mengisahkan tentang sekumpulan penduduk kampung yang suka ponteng puasa dan menyembunyikan kegiatan mereka dari pengetahuan keluarga masing-masing.














