fbpx
NIK NUR AZUDDIN menunjukkan khemah yang disewanya rosak susulan kejadian angin kencang melanda bazar Ramadan di Pekan Rembau semalam. – NOR AINNA HAMZAH

’20 tahun berniaga bazar, ini ujian saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – “Angin kencang tiba-tiba datang dan mengangkat khemah kami menyebabkan ia me­ngalami kerosakan.”

Itu cerita seorang peniaga bazar Ramadan di Pekan Rembau, di sini tentang kejadian ribut yang melanda kawasan itu awal pagi semalam menyebabkan lapan peniaga mengalami kerugian besar.

Nik Nur Azuddin Nik Suhaimi, 36, berkata, ketika kejadian dia berada di bawah khemahnya kerana baru selesai menyusun peralatan berniaga seperti meja, bunting, kerusi dan lain-lain.

Menurutnya yang empat tahun berniaga di bazar berkenaan, kejadian itu pertama kali menimpanya dan dia melihat sendiri bagaimana angin kencang mengangkat khemah sebelum menghempap khemah di lorong lain.

“Beberapa peniaga lain juga baru selesai menyusun peralatan berada di dalam kenderaan masing-ma­sing. Memang tak ada tanda-tanda langsung, tiba-tiba sahaja angin kencang datang dan ‘me­nyapu’ lapan khemah kami.

“Khemah yang saya sewa patah serta kanvasnya koyak, mujur peralatan lain seperti meja dan kerusi tidak mengalami kerosakan.

“Saya berbincang dengan peniaga lain untuk membaiki khemah-khemah yang rosak bagi membolehkan perniagaan berjalan seperti biasa. Pada hari pertama puasa biasanya ramai pengunjung dan di situlah rezeki kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi peniaga, Moktazar Abas, 70, berkata, dia yang berniaga pelbagai jenis lauk-pauk di bazar berkenaan lebih 20 tahun lalu dimaklumkan kejadian itu oleh anak perempuannya.

“Anak saya beritahu kejadian pukul 1.30 pagi. Ini merupakan kejadian kali pertama saya hadapi ketika meniaga di bazar Ra­madan. Baru dua bulan saya beli khemah bersaiz 10×20 kaki pada harga RM300.

“Khemah ini sudah pun patah dan tidak dapat digunakan. Saya berpakat dengan peniaga tapak sebelah untuk menyewa khemah besar dengan kos RM600.

“Mahu tidak mahu jualan ­mesti diteruskan kerana persiapan bahan mentah telah pun dibuat.

“Pelanggan tetap memang sudah ada. Macam saya biasa mereka suka beli lauk daging salai serta rendang ayam. Jadi, saya anggap kejadian ini dugaan yang perlu dilalui dengan hati yang reda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN