GEORGE TOWN – Umat Islam yang sengaja memuat naik gambar makanan dan minuman pada siang hari Ramadan di media sosial dengan niat untuk menggoda, menyakitkan hati atau bermegah-megah hukumnya adalah berdosa.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman berkata, seorang Muslim yang berpuasa sewajarnya menjaga bukan sahaja perutnya daripada makan dan minum, tetapi juga menjaga hati dan adabnya daripada perkara yang boleh mengurangkan pahala serta mencemarkan kemuliaan Ramadan.
Menurutnya, dari sudut hukum asal, memuat naik gambar makanan adalah perkara harus kerana ia termasuk dalam urusan adat dan kebiasaan manusia.
“Islam tidak melarang seseorang berkongsi rezeki atau idea juadah berbuka. Namun, hukum sesuatu perbuatan tidak hanya dilihat pada zahirnya, bahkan turut bergantung kepada niat dan kesan yang terhasil daripadanya.
“Kaedah fiqh menyebut bahawa wasilah atau cara mengambil hukum berdasarkan tujuan. Sekiranya perkongsian itu bertujuan baik seperti berkongsi resepi, mempromosikan perniagaan secara beretika atau menzahirkan kesyukuran tanpa unsur riya’, maka ia kekal dalam lingkungan harus.
“Jika tujuan tersebut adalah untuk menggoda, mempermainkan rasa lapar orang yang sedang berpuasa atau menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan rakan-rakan, maka perbuatan itu menjadi makruh bahkan boleh membawa kepada dosa bergantung kepada niat dan kesannya,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hukum umat Islam memuat naik atau berkongsi gambar makanan dan minuman pada siang hari Ramadan dengan niat sekadar suka-suka atau sengaja “melayur” rakan-rakan.
“Rasulullah SAW juga bersabda bahawa seorang Muslim ialah orang yang mana Muslim lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya, sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.
“Walaupun memuat naik gambar bukanlah gangguan fizikal, namun jika disertai niat memperlekeh atau sengaja mengusik sehingga menimbulkan rasa kurang senang, ia termasuk dalam bentuk gangguan maknawi yang boleh mencacatkan kesempurnaan akhlak seorang yang berpuasa.
“Di samping itu, budaya mempamerkan makanan secara berlebihan juga berpotensi menimbulkan unsur riak, bermegah-megah atau pembaziran, yang semuanya bertentangan dengan semangat kesederhanaan yang ditekankan dalam Islam,” jelasnya.
Justeru beliau memberitahu, Ramadan sepatutnya mendidik jiwa agar lebih merasai penderitaan golongan yang kekurangan dan bukan sekadar mempamerkan kemewahan juadah.
“Dalam masyarakat yang pelbagai latar belakang ekonomi, sensitiviti sosial amat penting agar ibadah puasa benar-benar melahirkan sifat empati dan ihsan.
“Seorang Muslim yang berpuasa sewajarnya menjaga bukan sahaja perutnya daripada makan dan minum, tetapi juga menjaga hati dan adabnya daripada perkara yang boleh mengurangkan pahala serta mencemarkan kemuliaan Ramadan,” tambahnya.















