JAKARTA – Seorang pempengaruh media sosial di Bandung Barat, wilayah Jawa Barat terkejut apabila menemukan mayat seorang pelajar lelaki di sebuah bekas lokasi pelancongan ketika melakukan siaran langsung di platform TikTok, lapor portal berita iNews.
Penemuan itu dibuat di taman tema Kampung Gajah Wonderland yang terbiar pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Cimahi, Asisten Komisioner Kanan Niko N Adi Putra berkata, dua individu sedang membuat siaran langsung di platform TikTok sebelum menghidu bau busuk yang kuat.
“Selepas menyiasat, mereka menemukan mayat seorang pelajar lelaki terbaring di atas tanah. Mereka segera melaporkan kejadian itu kepada penduduk tempatan dan polis.
“Kami berjaya mengenal pasti identiti mayat melalui seragam di dalam beg sekolahnya. Ia dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
“Hasil siasatan mendedahkan bahawa mangsa yang dikenali sebagai Z, telah hilang sejak Isnin lalu. Pihak sekolah menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa sehari selepas dia tidak pulang ke rumah,” kata Niko.
Dua suspek dikenali sebagai YA, 16 dan APM, 17 diberkas kerana didakwa membunuh mangsa akibat dendam. – AGENSI














