PETALING JAYA – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meninggal dunia pada usia 84 tahun, hari ini.
Perkara berkenaan disahkan oleh keluarga Allahyarham.
Difahamkan solat jenazah akan berlangsung di Musolla Taman Selatan, Presint 20, Putrajaya, selepas waktu solat asar, manakala pengebumian akan dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20.
Allahyarham dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di St. Xavier’s Institution.
Seterusnya, beliau menamatkan pengajian dalam bidang perundangan di Universiti Singapura pada tahun 1969.
Kerjaya beliau dalam perkhidmatan kehakiman bermula sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak.
Sepanjang perkhidmatannya, Allahyarham turut memegang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi serta Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.
Abdul Hamid kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990 sebelum dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992.
Allahyarham seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003, sebelum menggalas jawatan Ketua Hakim Negara. – KOSMO! ONLINE














