fbpx
Gambar yang dimuat naik di akaun Thread Masjid Seksyen 7 Shah Alam.

Makanan percuma di ‘vending machine’ Masjid Seksyen 7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengurusan Masjid Seksyen 7 Shah Alam tampil dengan inisiatif kebajikan apabila menyediakan mesin layan diri (vending machine) makanan percuma yang disasarkan khusus kepada golongan asnaf serta pelajar memerlukan.

Lebih menarik, mesin tersebut turut dilengkapi stesen pemanas dengan beberapa unit gelombang ketuhar bagi membolehkan penerima menikmati makanan dalam keadaan panas dan lebih selesa.

Dalam hantaran yang dimuat naik di akaun Thread Masjid Seksyen 7 Shah Alam, idea itu digerakkan bagi memastikan bantuan makanan dapat diberi secara lebih tersusun, pantas dan menjaga maruah penerima.

“Korang nak tahu? Kami menyediakan mesin layan diri makanan percuma pertama di Malaysia, khas untuk asnaf dan pelajar yang memerlukan.

“Lebih istimewa, ia lengkap dengan stesen pemanas supaya penerima boleh terus menikmati makanan yang panas dan segar. Kecil usaha kami, besar harapan untuk membantu,” katanya.

Dalam hantaran itu turut menjelaskan, penerima yang layak perlu mendapatkan pin nombor terlebih dahulu melalui Ahli Jawatan Kuasa masjid sebelum boleh membuat pilihan makanan daripada mesin berkenaan.

Kelihatan dalam gambar dimuat naik, pelbagai makanan boleh dimakan terus disediakan dalam mesin layan diri berkenaan, antaranya adalah Nasi Tumis Daging Hitam, Nasi Bukhara Daging, Spaghetti Bolognese, Nasi Biryani Ayam dan pelbagai lagi menu lain.

Berdasarkan maklumat pada mesin juga, inisiatif berkenaan turut menampilkan identiti program seperti ‘Menu Ihsan Masjid 001’ serta tagline ‘Free Meals on Wheels’, selain memaparkan peringatan keselamatan penggunaan microwave di stesen pemanas.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memberikan pujian kepada pihak masjid yang menyediakan inisiatif berkenaan buat mereka yang memerlukan.

“Masya Allah semoga Allah berkati usaha ni dan murahkan rezeki pihak masjid dan mudah mudahan usaha ni jadi asbab ramai yang terbantu insha Allah,” komen Khayra.

“Masyaallah tabarakallah.. moga lebih banyak masjid dapat ikut langkah ni,” komen Sally.

“Alhamdulillah. Moga terus dilimpahi rezeki utk lebih banyak peluang membantu lebih ramai lagi,” komen Farra Aqila. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN