fbpx
DRAMA vertikal Pan Mee: Pertarungan Iman & Rasa sebanyak 15 episod untuk tayangan di TikTok dan Facebook Adam Corrie ini bakal menemui penonton pada 19 Februari pukul 10 malam.

Pan Mee: Pertarungan Iman & Rasa bongkar stigma dunia F&B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CABARAN mualaf dalam dunia kulinari diangkat pelakon dan penerbit, Adam Corrie sebagai rencah dalam drama vertikal untuk tayangan platform digital, Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa.

Katanya, kisah sarat pengajaran itu digarap daripada pengalaman sendiri yang diharap mampu menyuntik semangat individu lain terutama golongan peniaga.

“Saya mempertaruhkan jiwa dan pengalaman peribadi dalam drama yang mengetengahkan isu realistik dunia makanan dan minuman (F&B) negara ini.

“Pada masa sama, saya membongkar stigma terhadap isu penerimaan saudara baharu, persepsi masyarakat serta cabaran mempertahankan kejujuran dan integriti dalam dunia perniagaan.

“Cerita ditonjolkan mungkin pada mata kasar nampak perjalanan biasa seorang usahawan, tetapi hakikatnya paparan ini mewakili ramai insan lain yang berada dalam bisnes sama,” katanya.

Katanya, antara babak penting adalah pertandingan masakan dinamakan Halal Cookdown yang menjadi simbol kepada persaingan sihat dalam dunia kulinari serta kepentingan pematuhan halal dan etika penyediaan makanan.

“Babak ini yang menjadi titik penting kepada perkembangan konflik dan mesej utama drama kerana inilah realiti dunia F&B,” ujarnya.

Adam turut menzahirkan perasaan bangga dengan penghayatan cemerlang barisan pelakon yang mewarnai drama 15 episod itu.

Drama ini dibintangi pelakon berpengalaman Kenji Sawahii, Sheila Mambo, Nam Ron, Jesse Lim, Ammar Alfian, Wan Gegau serta Izuan Razali.

“Terima kasih atas kerjasama padu rakan seperjuangan saya yang menjadikan Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa sarat masam manisnya.

“Nam Ron membawakan watak Pak Long Rahman, figura berpengaruh yang banyak memberi pengajaran dan cabaran kehidupan kepada watak utama.

“Selain saya sebagai watak utama, ada banyak karakter penting lain termasuk Jesse (Jason) iaitu pencetus konflik dalam perniagaan selain Kenji selaku bapa watak utama,” katanya.

Kualiti maksima

Tidak berkompromi soal kualiti walaupun hanya untuk siaran platform digital, katanya penerbitan menggunakan standard produksi setaraf drama televisyen

“Penggambaran lengkap dengan penggunaan peralatan profesional, tenaga produksi berpengalaman, elemen CGI serta sentuhan jurutera bunyi.

“Kesemua itu digabungkan semata-mata bagi memastikan mutu visual serta audio yang dipersembahkan kepada penonton berada pada tahap terbaik,” katanya.

Pertarungan Iman & Rasa mengenai perjalanan seorang peniaga mualaf bernama Ah Seng lakonan Adam Corrie yang memilih untuk membawa diri jauh daripada keluarga bagi membina kehidupan baharu.

Beliau membuka gerai Pan Mee sebagai punca rezeki, namun terpaksa berdepan banyak cabaran termasuk tentangan keluarga, persepsi masyarakat serta konflik nilai dalam dunia perniagaan makanan.

Watak Ah Seng turut berdepan tekanan daripada bapanya sendiri (Kenji) yang berpegang kepada prinsip lama sekali gus sukar menerima perubahan hidup anaknya. Menariknya, drama itu turut menampilkan anak Adam sendiri iaitu Adam Fateh Lee dalam satu babak khas.

Diarahkan bersama dengan Ollyn Khadir, naskhah yang turut mendapat kerjasama strategik KopiHut, Aji-Ya dan Sentai itu bakal disiarkan menerusi TikTok dan Facebook Adam Corrie bermula 19 Februari ini, pukul 10 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI