JAKARTA – Seorang lelaki berusia 40 tahun di Belitung, wilayah Bangka Belitung mati dibaham buaya di hadapan anaknya ketika mereka mandi-manda di bekas tapak lombong biji timah, lapor portal berita MPN Indonesia.
Kejadian berlaku sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan) di Kampung Cerucuk baru-baru ini.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Bangka Belitung, Mikel Rachman berkata, anak mangsa yang menyaksikan kejadian itu bergegas mendapatkan bantuan daripada warga setempat.
“Usaha menyelamat bertambah sukar kerana mayat mangsa masih berada di dalam mulut buaya. Kedalaman lombong itu turut merumitkan operasi pencarian dan pihak berkuasa terpaksa menggunakan pam air untuk mengurangkan paras air.
“Inisiatif itu dilakukan agar mangsa dan buaya dapat dikesan dengan lebih mudah,” katanya.
Mayat mangsa ditemukan pada pukul 11.40 malam (waktu tempatan) dan dibawa ke hospital. – AGENSI














