PETALING JAYA – Seramai 13 pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disahkan dipecat setakat pukul 6.35 petang, hari ini, sekali gus mencetuskan gelombang baharu pergolakan dalaman parti itu.
Antara nama terbesar yang tersenarai ialah Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, selain Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Turut dipecat ialah Ahli MPT Bersatu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, serta Ketua Bahagian Padang Rengas merangkap Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Kapten Azhari Hasan.
Selain itu, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan beberapa pemimpin akar umbi termasuk ketua-ketua bahagian dari pelbagai negeri turut menerima nasib sama.
Senarai penuh individu yang dipecat ialah:
•Timbalan Presiden Bersatu & Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin
•Ahli MPT Bersatu & Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
•Ahli MPT Bersatu & ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin
•Ketua Bahagian Padang Rengas & Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azhari Hasan
•Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob
•Setiausaha BPN Sabah & Ketua Bahagian Libaran, Yunus Nurdin
•Ketua Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz
•Ketua Bahagian Larut, Mohd Hasuandi
•Ketua Bahagian Selayang, Ahmad Nasir
•Ketua Bahagian Gopeng, Ahmad Ishak
•Ketua Bahagian Teluk Intan, Kamaruddin Majid
•Ketua Bahagian Tapah, Mohd Yunus
•Ketua Bahagian Jasin, Mohd Yadzil Yaakub
Pemecatan melibatkan barisan kepimpinan tertinggi dan akar umbi itu dijangka memberi kesan besar terhadap hala tuju politik Bersatu serta landskap pembangkang di Parlimen.
Setakat ini, kepimpinan tertinggi Bersatu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi terperinci berhubung punca pemecatan beramai-ramai tersebut.- KOSMO! ONLINE














