fbpx
GAMBAR HIASAN

Polis jawab punca KL sesak sejak 12 hari lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kesesakan lalu lintas luar biasa yang berlaku di ibu negara sejak minggu lalu didorong peningkatan mendadak jumlah kenderaan, khususnya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, selain faktor kemalangan, cuaca dan beberapa acara rasmi peringkat kebangsaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, berdasarkan data Sistem Maklumat Trafik Bersepadu (ITIS), sebanyak lebih tiga juta kenderaan direkodkan memasuki Kuala Lumpur dalam tempoh 1 Februari hingga semalam.

“Menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, tumpuan orang ramai ke pusat bandar untuk membeli-belah turut menyumbang kepada pertambahan volum trafik.

“Dalam masa sama, kejadian kemalangan, halangan kenderaan di jalan raya pada waktu puncak serta faktor cuaca yang menyebabkan pergerakan kenderaan lebih perlahan turut menyumbang kepada kesesakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, berlangsungnya Majlis Mesyuarat Raja-Raja bermula Selasa lalu hingga semalam juga memberi kesan kepada aliran trafik berikutan kawalan keselamatan dan penutupan laluan tertentu.

Mengulas lanjut, Fadil berkata kesesakan yang berlaku turut berpunca daripada peningkatan jumlah kenderaan secara berantai, struktur jalan raya di beberapa lokasi serta kejadian kemalangan yang memberi kesan langsung kepada kelancaran trafik.

“Bagi menangani situasi ini, polis telah menempatkan anggota tambahan di lokasi-lokasi ‘hot spot’, khususnya di kawasan pusat membeli-belah serta laluan utama masuk dan keluar ibu negara.

“Tempoh pemantauan dan kawalan trafik juga dipanjangkan melepasi waktu puncak biasa,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama erat antara polis trafik, pihak lebuh raya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terus diperkukuh bagi memastikan aliran trafik lebih terkawal.

“Antara langkah diambil termasuk perbincangan untuk memanjangkan tempoh lampu isyarat di persimpangan berkapasiti tinggi, pemakluman kepada pengguna jalan raya melalui paparan mesej elektronik (VMS), selain pemantauan berterusan oleh Pusat Kawalan Trafik Kuala Lumpur.

“Kita juga mempunyai pasukan respons kecemasan bagi mengendalikan kemalangan atau insiden dengan segera bagi mengelakkan kesesakan berpanjangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN