NILAI – Nilai denda RM600 dianggap jumlah besar bagi Herry Kurniawan, 25, dan Mohd Hashim Mohd Nor, 37, selepas mereka dikenakan perintah khidmat masyarakat (PKM) kerana membuang puntung rokok di kawasan awam.
Jumlah denda yang besar itu bukan sahaja membuat mereka menyesal, tetapi juga dijadikan pengajaran kepada masyarakat supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan awam.
Herry yang bekerja sambilan sebagai buruh pembinaan dan pekerja kedai makan berkata, dia terkejut apabila pegawai mengeluarkan kompaun.
“Masa kejadian, pegawai nampak saya duduk dan membuang putung rokok lalu keluarkan denda. Terkejut sebab saya memang tidak tahu tentang larangan ini. Hanya kerana putung rokok tidak berbaloi bayar denda.
“Dah nama pun denda, saya terima sahaja. (Nilai) RM600 besar bagi saya, ia beri pengajaran yang tidak mungkin saya lupakan. Saya berjanji tidak akan buat lagi kesalahan sama,” katanya ketika ditemui di Jalan BBN 1/2M Bandar Baru Nilai di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Hashim yang bekerja sebagai polis bantuan berkata, nilai denda RM600 memang besar, tetapi dia sanggup membayarnya daripada dimasukkan ke dalam penjara.- KOSMO! ONLINE














