SEPANG- Penulis blog ‘Sang Kelembai’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu di Facebook miliknya tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Abd. Zarin Mohd. Yasin selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, OKS secara sedar didakwa membuat penghantaran komunikasi yang bersifat palsu menerusi Facebook menggunakan akaun `Zaharin Mohd. Yasin’ pada pukul 4.42 petang, November lalu.
Hantaran tersebut didakwa mengaitkan jawatan seorang individu dan peranannya di sebuah kementerian terhadap sesuatu isu. Oleh itu OKS didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Sabit kesalahan, lelaki itu boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin dan Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Azmir Mohd. Razali memohon jaminan RM10,000.
Peguam Sureshmurti Ramani bagaimanapun merayu jaminan lebih rendah kerana anak guamnya berusia 74 tahun dan menghidap kencing manis kronik.
Peguam berhujah, OKS tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung seoorang anak yang masih belajar di universiti swasta serta isteri suri rumah.
Hakim membenarkan OKS diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 April ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE














