MELAKA – Mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain telekung di dalam tandas awam Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini, pagi tadi.
Kejadian disedari kira-kira pukul 9.40 pagi oleh seorang pekerja pembersihan yang menemui sebuah beg mencurigakan dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi mayat bayi berkenaan.
Setakat pukul 11.30 pagi tadi pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem turut dilihat hadir ke lokasi dan meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan kejadian berkenaan.
Berita lanjut menyusul.- KOSMO! ONLINE














