DALAM usaha memperkasa kemahiran dan menjana pendapatan wanita terutama ibu tunggal serta suri rumah, pelbagai inisiatif diperkenalkan seperti program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2026.
Memfokuskan kepada kursus urutan selepas bersalin, PEKB edisi kali kedua ini dilaksanakan sepenuhnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim).
Program selama tujuh hari di Hotel Crown Garden, Kota Bharu, Kelantan itu melibatkan seramai 40 peserta daripada golongan B40 dan mereka yang tinggal di bandar.
Program sedang berlangsung itu bermula dari Ahad lalu sehingga esok.
Menurut pengarah program, Dr. Suffia Hany Mohd. Amin, pihaknya menerima hampir 1,000 nama daripada pihak KPKT dan pemilihan peserta perlu melalui saringan serta bancian.
“Daripada jumlah tersebut, kami telah memilih 40 peserta dalam kalangan wanita yang layak untuk menjalani kursus.
“Peserta hadir daripada pelbagai latar belakang termasuk ibu tunggal, suri rumah yang pernah berniaga dan ada juga yang langsung tiada pengalaman dalam bisnes serta urutan ibu berpantang,” katanya.
Dari segi modul, Dr. Suffia Hany memberitahu, pihaknya bukan sekadar memberikan latihan praktikal dalam urutan semata-mata, malah silibus yang diterapkan merangkumi semua aspek terutama transformasi minda.
“Kita mahu semua peserta yang terlibat mengubah mindset (pemikiran) mereka daripada takut dan segan serta tiada keyakinan kepada seorang yang berani.
“Daripada duduk di rumah, mereka perlu keluar dan tampilkan diri selain bebas daripada mindset serta kepompong kemiskinan.
“Sepanjang program, aspek keusahawanan juga diterapkan apabila peserta diajar bagaimana untuk membuka syarikat dengan mendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), membuat kunci kira-kira dan menguruskan akaun.
“Dari segi praktikal pula, kita ajar peserta bagaimana untuk menjaga ibu selepas bersalin termasuk dari segi urutan, pemakaian bengkung, bertangas, mandian herba, kenal pasti luka dan lain-lain,” katanya.

Menariknya, ilmu mengenai anatomi turut dikongsikan memandangkan barisan pelatih terdiri daripada pengamal perubatan.
Barisan pelatih terdiri daripada Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi dan ahli jawatankuasa lain seperti Dr. Muzvin Othman, Dr. Nasaruddin Che Fa, Dr. Shah Reza Khelikuzaman dan pakar perbidanan, Fauziah Haron.
Dari segi anatomi, Dr. Suffia Hany memberitahu, peserta didedahkan dengan teknik dan cara urutan yang betul di mana letaknya urat, otot dan rahim dan bukan dilakukan secara semberono sahaja.
Jelasnya, setelah menamatkan kursus selama seminggu itu, peserta diberikan peralatan lengkap dan boleh terus menjalankan perniagaan sendiri.
Bagi seorang ibu beranak tujuh, Nurul Hidayah Mohamad, 39, menerusi kursus PEKB, dia yakin mampu menjana pendapatan sekali gus membantu keluarganya keluar daripada kemiskinan.
“Terima kasih kepada KPKT dan Perdim kerana memilih saya sebagai salah seorang peserta. Banyak ilmu yang saya pelajari sepanjang seminggu program berlangsung. Selepas tamat kursus ini, saya akan ada sijil yang diiktiraf dan boleh berkongsi ilmu menerusi servis yang ditawarkan nanti,” katanya.
Seorang lagi peserta, Yusliza Mat Yusoff, 58, berkata, dia memperoleh banyak pengalaman berharga khususnya dari segi kemahiran, pengetahuan dan keyakinan diri sebagai confinement lady.
“Program ini memberi latihan menyeluruh kepada 40 orang peserta bagi meningkatkan profesionalisme dan kualiti perkhidmatan.
“Saya sertai program ini kerana ingin menambah ilmu penjagaan ibu berpantang serta membuka peluang meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga.
Perancangan saya selepas ini untuk memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh daripada program PEKB dan terus aktif sebagai confinement lady secara profesional,” katanya.
















