PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi Ketua Pengarah Jabatan Persekutuan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan tuntutan palsu melibatkan dana Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT).
Turut ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ialah seorang pengarah bahagian selepas kedua-dua suspek hadir kira-kira pukul 10 pagi semalam bagi memberi keterangan kepada pegawai penyiasat .
Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal, suspek utama dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kelulusan penggunaan dana LJT untuk membiayai urusan yang bukan di bawah mandat LJT termasuk kepentingan peribadi.
“Siasatan turut menjurus kepada dakwaan pengemukaan dokumen dan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan jumlah keseluruhan ratusan ribu ringgit,” katanya hari ini.
Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk meneliti aliran kewangan serta mengenal pasti sebarang elemen kesalahan tambahan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan masih giat dijalankan.
“SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan sekiranya terdapat bukti dan keterangan tambahan,” katanya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah dan salah guna harta. – KOSMO! ONLINE














