PETALING JAYA – Semua pihak diingatkan supaya tidak mempolitikkan sebarang isu berkaitan agama kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, Malaysia dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan terhadap undang-undang.
Sultan Ibrahim mengimbas kembali pengalaman pada Januari 2018 apabila Seri Paduka Baginda bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.
“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing,” titah Seri Paduka Baginda yang dikongsikan pada Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Baginda bertitah, penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam.
“Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.
“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah,” titah baginda.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara pada hari ini.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai berkenaan demi kepentingan bersama.
Seri Paduka Baginda bertitah menegaskan, semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub, termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.
Dalam isu pembinaan kuil, titah Seri Paduka Baginda, hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong. – KOSMO! ONLINE














