PETALING JAYA – Keputusan kerajaan yang memulakan persekolahan seawal usia 6 tahun akan menjejaskan institusi tadika dengan kerugian ratusan juta ringgit daripada yuran.
Dianggarkan hampir 500,000 kanak-kanak 6 tahun akan memasuki darjah satu lebih awal, sekali gus menjadikan tadika tidak akan mempunyai murid pada usia itu tahun depan.
Jika yuran setiap murid tadika secara puratanya RM1,500 setahun tidak termasuk perkhidmatan penjagaan harian, pengusaha tadika akan kehilangan RM750 juta dengan pelaksanaan keputusan itu.
Setiausaha Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim), Siti Ruzita Ramli berkata, hampir 5,000 guru dan kakitangan tadika di bawah Pertim akan turut terjejas.
Menurutnya, hampir 40 peratus daripada guru dan kakitangan juga bakal kehilangan kerjaya.
“Pihak tadika terpaksa ambil langkah mengurangkan guru atau staf bagi memastikan kos operasi tidak terjejas kerana jumlah pelajar akan berkurangan selepas ini.
“Ibu bapa mungkin memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke tadika di usia 6 tahun, sebaliknya terus ke sekolah rendah untuk memasuki tahun satu,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, terdapat sekitar 800 tadika yang bernaung di bawah Pertim di seluruh negara dan mungkin ada tadika yang akan menutup operasi jika jumlah pelajar semakin berkurangan.
Katanya, bagi mengelakkan perkara itu berlaku, pihaknya mencadangkan kerajaan memberikan subsidi atau bantuan kepada tadika-tadika terjejas.
“Kerajaan juga boleh membenarkan pihak pengusaha menggabungkan anak umur 2 hingga 5 tahun di bawah satu bumbung bagi meringankan kos perlesenan taska tadika, namun kurikulum masih dikekalkan untuk kategori taska menggunakan Permata, manakala kurikulum tadika menggunakan KP2026.
“Kerajaan juga boleh menjadikan tadika berdaftar sebagai rakan strategik Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menampung ruang sekolah yang tidak mencukupi di peringkat prasekolah KPM,” ujarnya.
Katanya, semua pengusaha perlu mengubah model bisnes bagi memastikan perniagaan masih boleh bertahan, sekali gus membela nasib kakitangan.
Seorang pengusaha tadika swasta di Pontian, Johor, Ummi Affifah Othman berkata, tadika kendaliannya yang beroperasi sejak 2022 yang mempunyai 110 murid turut merasai kesan.
Katanya, pihak pengurusan telah mengadakan mesyuarat dalaman bagi membincangkan implikasi kewangan dan operasi, termasuk kemungkinan pengurangan guru pada tahun depan.
“Kami jangka jumlah murid akan kurang. Kebimbangan kini semakin dirasai dalam kalangan guru prasekolah kerana peluang kerjaya agak terhad.
“Guru-guru sudah mula resah kerana bukan mudah untuk mencari pekerjaan lain,” ujarnya.
KPM sebelum ini melaporkan kanak-kanak yang kini berusia lima tahun ke atas selain lahir di antara tempoh 2 Januari hingga 31 Disember 2021 boleh mendaftar bagi menduduki darjah satu tahun depan menerusi kohort enam tahun.
Selain itu, bagi kanak-kanak yang lahir antara tempoh 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021, mereka boleh mendaftar menerusi kohort tujuh tahun untuk kemasukan ke tahun satu.
















