KUALA PILAH – Usaha seorang anak muda untuk menghias dinding pagar rumah keluarganya dengan lukisan mural membawa hikmah apabila dia mendapat banyak tempahan selepas kejadian itu tular di media sosial.
Muhammad Syafiq Mohd Adib, 32, berkata, dia memang sudah lama berhajat untuk mengubah dinding rumahnya di Air Mawang di sini kepada lukisan mural sebelum diizinkan oleh ibunya, Norhayati Harun, 59, baru-baru ini.
“Disebabkan tular baru-baru ini, saya berjaya mendapat 20 tempahan baharu yang kebanyakkannya meminta saya untuk melukis mural di homestay masing-masing,” katanya ketika ditemui Kosmo!, di Air Mawang baru-baru ini.
Menceritakan detik pembabitannya dalam lukisan mural, Syafiq berkata dia sebenarnya merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Katanya, sebaik tamat pengajian pada tahun 2017, dia mengalami kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan apabila bidang kerja bagi jurusan yang diambilnya hanya menjurus kepada tenaga pengajar.
“Jadi, selama setahun juga saya hanya bekerja dengan ibu saudara saya sebagai tukang kelim karipap pusing sejuk beku dan dalam masa yang sama turut mengambil upah melukis mural di sekolah bersama rakan semasa ijazah dahulu iaitu Akmal Asyraf, 32.
“Kini, saya dan Akmal akan fokus untuk lukisan mural yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat kerana mampu mencantikkan ruang antaranya di lebuh raya, kedai, bangunan di pekan atau bandar dan lain-lain lagi,” kongsinya yang juga Johan Pertandingan Mural sempena Hari Belia Negara di Dataran Merdeka tahun lalu.
















