KEJAYAAN Armin Zahryl Abdul Latif memecahkan rekod kebangsaan berusia 20 tahun memberi makna besar buat karier olahraganya.
Sebelum ini, nama Armin Zahryl kurang dikenali dalam kalangan peminat yang tidak begitu mengikuti perkembangan sukan olahraga sehinggalah Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok pada Disember tahun lalu.
Kini, anak muda berusia 21 tahun dari Terengganu ini sebenarnya layak diangkat penyambung legasi kejayaan Rayzam Shah Wan Sofian yang bersara empat tahun lalu.
Rayzam sekarang menggalas peranan menggilap bakat muda sebagai jurulatih Kelab Olahraga Rayzam Shah (RSAC) di Kota Kinabalu, Sabah.
Sejak persaraan pemegang rekod 110 meter (m) berpagar kebangsaan dengan masa 13.67 saat (s) itu, Malaysia terus ketandusan pingat di pentas Sukan SEA.
Kali terakhir Malaysia menaiki podium acara itu melalui Rayzam pada edisi Manila 2019, namun kemarau berterusan selama dua temasya bermula Hanoi 2021 dan Kemboja 2023 sebelum munculnya Armin Zahryl.
Dia mengejutkan ramai dengan pingat gangsa (13.85s) sekali gus menjadi gambaran awal terhadap potensinya.
Segar dengan kejayaan itu, Armin Zahryl melaungkan keyakinan mahu mencipta rekod baharu kebangsaan acara 60m berpagar dalam dewan (indoor), 7.91s yang dicipta Faiz Mohamad di Pattaya, Thailand pada 2006.
Biarpun kali pertama beraksi indoor tetapi ia tidak menghalang impiannya apabila dia mengotakan janjinya dengan catatan baharu kebangsaan 7.88s pada Kejohanan Dalam Dewan Asia 2026 di Tianjin, China pada Sabtu lalu.
Dia turut melangkah ke final bersaing dengan jaguh-jaguh handalan Asia antaranya naib juara dunia edisi 2025, Liu Junxi dari China.
Menariknya, Armin Zahryl hampir memadam rekod kebangsaan yang diciptanya di sebelah pagi apabila mencetak masa 7.89s di final.
Ketika penulis bertanyakan kepadanya, dia mengakui gementar dan sangat berdebar lebih-lebih lagi berlaku insiden false start daripada bekas naib juara Asia dari Kuwait, Yaqoub Alyouha sebelum perlumbaan akhir itu.
Berdasarkan catatan konsisten 7.88s dan 7.89s itu, tidak mustahil dia mampu merakam masa lebih baik untuk 110m berpagar dengan jangkaan sekitar 13.4s hingga 13.7s.
Jika bakatnya digilap dengan baik, dia mampu memadam rekod 110m berpagar kebangsaan 13.67s yang dicipta Rayzam di Wenheim, Jerman pada 2017.
Dia sendiri tidak menyembunyikan hasratnya kepada penulis bahawa mahu mencipta rekod baharu itu dalam tahun ini atau selewat-lewatnya pada Disember depan untuk menjadi pencapaian awal sebelum Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
Jika terpilih ke Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Torun, Poland dari 20 hingga 22 Mac ini, ia mampu menjadi platform terbaik buat Armin Zahryl terus mengukuhkan lariannya untuk jarak 60m.
Apa yang pasti, Armin Zahryl ada potensi besar untuk mengubah hidup keluarganya kerana dia hanya tinggal berdua bersama ibunya dan terpaksa bekerja sambilan sebagai anggota Angkatan
Pertahanan Awam Malaysia (APM) dari pukul 12 tengah malam hingga 8 pagi.















