SEIRING dengan perkembangan pesat inovasi global, landskap teknologi kesihatan Malaysia telah melalui transformasi ketara dengan penerapan teknologi digital, automasi dan robotik perubatan yang semakin meluas dalam sistem rawatan, pemulihan serta penyelidikan klinikal negara
Pencapaian ini terhasil atas komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memacu penyelidikan berasaskan bukti, pemindahan teknologi serta kerjasama antarabangsa yang berfokus kepada peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.
Tidak ketinggalan mengikuti perkembangan teknologi kesihatan, Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut menandakan satu pencapaian penting dalam landskap teknologi kesihatan negara menerusi pelancaran Robot Exoskeleton ANGEL Legs M20.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, pencapaian tersebut merupakan hasil kerjasama saintifik antarabangsa antara Malaysia dan Korea Selatan.
“Robot Exoskeleton ANGEL Legs M20 merupakan peranti pemulihan boleh pakai yang direka khusus untuk membantu pesakit menjalani terapi latihan berjalan.
“Teknologi ini membolehkan pesakit meniru pergerakan harian seperti berjalan di permukaan rata dan menaiki tangga secara lebih semula jadi dan terkawal,” katanya ketika berucap pada pelancaran Robot Exoskeleton ANGEL Legs M20, Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM, Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, berbanding kaedah terapi konvensional, ANGEL Legs M20 dilengkapi sistem kawalan pintar yang sensitif terhadap rangsangan serta mampu menganalisis pergerakan pesakit dengan lebih tepat dan konsisten.
Pendekatan pemulihan berasaskan robotik ini membolehkan sesi terapi dijalankan secara lebih sistematik, berulang dan tersusun, sekali gus membantu mengoptimumkan proses pemulihan pesakit.
Kongsinya lagi, walau bagaimanapun, tempoh pemulihan tetap bergantung kepada tahap kecederaan serta keadaan klinikal individu.
“Penggunaan teknologi ini dijangka dapat meningkatkan motivasi pesakit, mengurangkan keletihan terapi dan menyokong hasil rawatan yang lebih berkesan dalam jangka panjang.
“Untuk rekod, Robot Exoskeleton ANGEL Legs M20 telah dibawa ke Malaysia buat pertama kali pada tahun 2022 bagi tujuan penyelidikan klinikal, khususnya untuk terapi pesakit strok,” ujarnya.
Katanya, kajian tersebut yang dilaksanakan oleh UiTM dengan kerjasama Angel Robotics Co. Ltd dari Korea Selatan telah berjaya diselesaikan pada tahun 2024.
Kejayaan penyelidikan ini telah membawa kepada pemilihan UiTM sebagai rakan strategik pertama di Malaysia bagi pembangunan dan aplikasi teknologi exoskeleton dalam bidang pemulihan perubatan.

Susulan kejayaan kajian berkenaan, pihak Korea Selatan telah menyumbangkan robot ANGEL Legs M20 kepada Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM untuk kegunaan terapi pesakit.
Sumbangan ini merupakan hasil kerjasama penyelidikan antarabangsa melibatkan UiTM, Angel Robotics Co. Ltd .serta beberapa institusi perubatan terkemuka Korea
Selatan, sekali gus mengukuhkan jaringan penyelidikan dan pemindahan teknologi kedua-dua negara.
Kata Shahrin lagi, inisiatif ini melambangkan kejayaan kerjasama akademik antarabangsa yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit, malah membuka laluan kepada pembangunan pusat rujukan pemulihan robotik di UiTM.
“Usaha ini juga dilihat mampu memperkukuh ekosistem penyelidikan teknologi kesihatan negara serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam bidang perubatan berteknologi tinggi.
“Pelancaran ANGEL Legs M20 satu lonjakan signifikan dalam kualiti perkhidmatan pemulihan di HASA,” kongsinya.
Ujarnya lagi, kerjasama strategik bersama rakan dari Republik Korea menyediakan platform penting untuk pemindahan teknologi, peluang latihan kepada staf dan pelajar serta pelaksanaan penyelidikan bersama yang berimpak tinggi dalam bidang robotik perubatan.
Dalam majlis yang sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut menyempurnakan penyerahan klinik bergerak berasaskan lori bas yang diubah suai serta sebuah kenderaan elektrik (EV) di bawah program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS).
Inisiatif ini bertujuan memperluas jangkauan perkhidmatan kesihatan ke peringkat komuniti, menyokong saringan awal, rawatan asas dan pendidikan kesihatan, di samping menjadi platform latihan praktikal kepada pelajar serta profesional kesihatan UiTM.
Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan oleh wakil delegasi rakan strategik dari Korea Selatan, pengamal perubatan serta ahli akademik.















