fbpx
KARYA yang dijana oleh AI perlu mendapat pengesahan sumber sebagai tujuan keselamatan sekiranya berlaku pertikaian. – Gambar hiasan

‘Hanya manusia diiktiraf sebagai pencipta pada masa ini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMUNCULAN kecerdasan buatan generatif (generatif AI) bukan lagi sekadar alat bantuan teknologi kerana kini sudah dianggap sebagai rakan kolaborasi yang secara perlahan-lahan mentakrifkan semula penghasilan kandungan melibatkan keaslian, kreativiti dan inovasi.

Digunakan hampir dalam semua bidang termasuk rekaan bentuk automatik, penjanaan kandungan sehinggalah analitik ramalan yang berupaya menyerupai hasil kerja manusia sebenar.

Situasi tersebut secara tidak langsung menimbulkan persoalan berkaitan keaslian, pemilikan dan hak cipta terhadap hasil yang dijana atau dibantu oleh AI.

Menurut Pembangun Ekosistem, Jabatan Penyelidikan & Perusahaan, Pemindahan Pengetahuan & Pengkomersialan Universiti Taylor’s, Nor Farah Natasha Tajuddin, perkara itu menjadi dilema bukan sekadar berkaitan isu teknikal atau perundangan tetapi turut melibatkan pertimbangan etika terhadap harta intelek (IP) berasaskan kecerdikan dan kreativiti manusia.

“Sistem perundangan kini berdepan keperluan mendesak untuk menyesuaikan diri dengan industri yang berkembang pesat hasil kemajuan AI dan pembelajaran mesin.

“Walaupun peraturan dan garis panduan khusus bagi membenarkan pendaftaran hak cipta terhadap karya yang dibantu gen AI masih belum diwujudkan.

“Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melalui Perjanjian Aspek Perdagangan Hak Harta Intelek (TRIPS) mengekalkan pendirian bahawa hanya pencipta manusia diiktiraf sebagai pengarang (pencipta) pada masa ini.

“Keputusan itu turut mendapat kata kesepakatan oleh semua negara anggota terlibat termasuk Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, penggunaan data latihan oleh syarikat teknologi, Anthropic pada tahun lalu berdepan dengan tindakan mahkamah apabila beberapa penulis buku fiksyen mendakwa karya mereka telah digunakan untuk tujuan melatih model AI bernama Claude.

Anthropic didapati telah memperoleh buku-buku berhak cipta secara cetak rompak daripada Library Genesis dan Pirate Library Mirror untuk tujuan latihan awal Claude, sebelum ‘membina semula’ latihan tersebut menggunakan salinan digital daripada buku yang diperoleh secara sah.

GENERATIF AI digunakan hampir dalam semua bidang termasuk rekaan bentuk automatik, penjanaan kandungan sehinggalah analitik ramalan yang berupaya menyerupai hasil kerja manusia sebenar. – Gambar hiasan

“Penulis buku Andrea Bartz, Charles Gaeber dan Kirk Johnson menyaman Anthropic atas dakwaan melatih model AI, Claude menggunakan buku-buku mereka tanpa kebenaran.

“Mahkamah memberikan penghakiman ringkas separa dengan memutuskan bahawa latihan menggunakan bahan yang diperoleh secara sah boleh dianggap sebagai penggunaan adil bersifat transformatif.

“Namun, mahkamah menegaskan bahawa Anthropic tidak mempunyai sebarang hak untuk menggunakan jutaan salinan cetak rompak dalam perpustakaan teras model AI tersebut,” ujarnya.

Keputusan berkenaan dilihat sebagai isyarat jelas bahawa teknologi AI dibenarkan berkembang tetapi masih tertakluk kepada prinsip undang-undang sedia ada bagi melindungi hasil karya pencipta.

Disebabkan itu perbezaan antara kandungan dibantu AI atau dijana AI sepenuhnya perlu dinyatakan bagi mengetahui sama ada penggunaan AI bersifat sebagai alat sokongan atau sistem autonomi dengan campur tangan manusia yang minimum.

“Peraturan dan garis panduan perundangan perlu diwujudkan khusus bagi output (hasil) yang dibantu AI.

“Tahap campur tangan yang diperlukan untuk mengubah output yang dijana AI harus ditentukan bagi menilai sejauh mana kebergantungan terhadap alat AI dalam keseluruhan proses kreatif.

“Dalam menghasilkan output yang dibantu AI, pencipta manusia disarankan untuk menyimpan rekod dan log yang jelas berkaitan sumbangan mereka, termasuk niat di sebalik arahan (prompt), pemilihan dan penyuntingan kandungan yang dijana serta keputusan kreatif yang membentuk keseluruhan hasil akhir.

“Rekod ini bukan sahaja menyokong tuntutan keaslian, malah berfungsi sebagai bukti sekiranya berlaku penelitian atau pertikaian undang-undang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN