PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi atas kemenangan besar Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pilihan raya umum negara itu.
Anwar berkata, kemenangan tersebut mencerminkan keyakinan rakyat Jepun terhadap visi Takaichi dalam memperbaharui ekonomi negara itu serta keupayaannya menyuntik semangat kepada generasi baharu pengundi.
Menurut beliau, Takaichi pernah berada di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak diterajui ASEAN pada Oktober 2025, hanya beberapa hari selepas beliau mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun.
“Beliau menunjukkan komitmen dan keterlibatan yang tinggi terhadap isu-isu penting yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara, termasuk daya tahan ekonomi, peralihan hijau dan keselamatan maritim,” katanya pada hantaran di Facebook.
Anwar menegaskan, Malaysia kekal komited untuk meneruskan momentum kerjasama dalam bidang-bidang tersebut serta keutamaan penting lain antara kedua-dua negara.
Beliau turut menyentuh kenyataan Takaichi yang terkenal dengan ungkapan bahawa beliau akan ‘bekerja, bekerja, bekerja, bekerja dan bekerja’ demi Jepun.
“Saya menantikan untuk bekerjasama dengan penuh kesungguhan bersama Perdana Menteri Takaichi bagi membawa Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Takaichi sebelum ini mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun. – KOSMO! ONLINE














