BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengumumkan kemenangan dalam pilihan raya umum negara itu semalam, selepas stesen televisyen tempatan meramalkan partinya akan membentuk majoriti di parlimen selepas mengetengahkan gelombang nasionalisme.
“Kami berkemungkinan akan memenangi pilihan raya,” kata Anutin kepada pemberita di ibu pejabat partinya di Bangkok.
“Kemenangan hari ini milik semua rakyat Thailand, tidak kira sama ada anda mengundi kami atau tidak” tambah beliau.
Parti Bhumjaithai pimpinan beliau diramalkan memenangi hampir 200 kerusi oleh saluran berita Channel 3 berdasarkan keputusan daripada parti-parti tersebut.
Parti Rakyat ketinggalan jauh di belakang, sedikit melepasi 100 kerusi, di hadapan parti Pheu Thai pimpinan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang dipenjarakan.
Ia akan menjadi perubahan menakjubkan bagi Anutin, selepas partinya menduduki tempat ketiga pada pilihan raya lalu.
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri oleh parlimen pada September tahun lalu selepas dua pendahulu daripada Parti Pheu Thai disingkirkan oleh mahkamah.
Mengakui kekalahan, pemimpin Parti Rakyat, Natthaphong Ruengpanyawut memberitahu pemberita di Bangkok: “Kami tetap berpegang pada prinsip untuk menghormati parti yang menamatkan pilihan raya dahulu dan haknya untuk membentuk kerajaan.”
Isu yang paling menjadi perhatan ramai pengundi adalah pertikaian sempadan yang telah lama berlarutan dengan Kemboja, yang meletus menjadi pertempuran maut dua kali tahun lepas.
“Kita memerlukan pemimpin yang kuat dan dapat melindungi kedaulatan kita,” kata Yuernyong Loonboot, pengundi pertama yang membuang undi di pusat mengundi di Buriram.
Penganalisis politik, Titipol Phakdeewanich dari Universiti Ubon Ratchathani memberitahu AFP bahawa Bhumjaithai telah melebihi jangkaan dalam pilihan raya dengan memperjuangkan nasionalisme.
“Mereka mempersembahkan diri mereka sebagai penyokong tentera dan kerabat diraja. Mereka mewakili semangat rakyat Thai yang mempunyai impak ketara terhadap pengundi,” katanya. – AFP














