PETALING JAYA – Perang harga bufet Ramadan 2026 menyaksikan persaingan sengit antara hotel dan resort di seluruh negara dengan tawaran serendah RM55 hingga lebih RM200.
Pelbagai hidangan ditawarkan termasuk masakan kampung, menu tradisional Melayu, warisan nusantara, konsep bazar Ramadan, kambing golek dan makanan Arab bagi menarik pelanggan.
Malah terdapat hotel yang menurunkan harga untuk menarik lebih ramai pelanggan, selain memberi peluang kepada orang ramai menikmati hidangan berbuka puasa pada harga lebih berpatutan.
Di Melaka, tinjauan Kosmo! mendapati, harga bufet Ramadan tahun ini bermula RM65 hingga RM148+ bagi dewasa dan beberapa hotel juga telah menurunkan harga antara RM2 hingga RM5.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter, Khairulnizam Kasim berkata, beberapa hotel lima bintang yang menawarkan bufet mewah masih mengekalkan harga hampir sama seperti tahun lalu.
Katanya, hotel empat bintang pula ada yang menurunkan harga bagi menarik pelanggan baharu.
“Pendekatan ini adalah langkah strategik pengurusan hotel bagi memastikan pelanggan masih mampu menikmati bufet tanpa tekanan kos tambahan.
“Strategi mengekalkan harga ini juga penting untuk memastikan kadar penginapan dan tempahan bufet kekal stabil sepanjang Ramadan,” katanya.
Menurutnya, hotel juga mengekalkan tarikan utama seperti hidangan tradisional Melayu, menu warisan negeri serta konsep bazar Ramadan yang menjadi tarikan ramai.
Katanya, pakej promosi terus ditawarkan termasuk pembelian berkumpulan dan diskaun tempahan awal yang memberi penjimatan kepada pelanggan.
“Strategi harga sebegitu bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai menikmati pengalaman berbuka puasa di hotel, tetapi memastikan sambutan masyarakat terhadap bufet Ramadan kekal positif,” katanya.
Di Kuantan, Pahang, perang harga bufet Ramadan juga telah bermula dan pelbagai promosi yang ditawarkan terus mendapat permintaan orang ramai yang telah mula membuat tempahan awal untuk berbuka puasa.
Pengarah Urusan Adena Beach Resort, Raja Azukri Raja Adam berkata, dengan tawaran yang amat menarik dengan promosi awal RM68 bagi setiap orang, pihaknya telah mula menerima tempahan sejak minggu lalu.
Katanya, pada tahun ini, harga bufet Ramadan turun kepada RM88 berbanding RM98 tahun lalu dengan tempahan awal mendapat harga promosi RM68 bagi dewasa.
“Dengan lebih 100 hidangan bertemakan ‘Sajian Ayahanda’ yang mengetengahkan keaslian rasa masakan tradisional Melayu daripada resipi turun-temurun air tangan ayah sememangnya tawaran ini amat berbaloi.
“Kita menawarkan harga yang lebih rendah dan berpatutan untuk memberi peluang kepada orang ramai berbuka puasa di sini dan menikmati hidangan terbaik dari cef terkenal,” katanya.
Ujarnya, dengan penurunan harga itu, pihaknya menyasarkan lebih ramai pelanggan yang berbuka puasa di resortnya yang terletak di tepi pantai.
Malah, pihaknya memberi tawaran percuma kepada setiap 10 tempahan diterima dengan menawarkan pakej bersahur.
Pengurus Besar Menara Kuantan 188, Khalisa Azman pula berkata, kali ini pihaknya turut menawarkan pengalaman berbuka puasa di menara itu yang telah mula mendapat tempahan awal.
Pihaknya menawarkan promosi tempahan awal RM118 seorang berbanding RM138 harga biasa dengan tema ‘Simfoni Rasa di Awangan dengan lebih 200 tempahan diterima.
Di Kota Bharu, Kelantan, Holiday Villa Hotel & Suites (Holiday Villa) berjaya menjual 1,500 baucar pembelian awal bagi bufet Ramadan sejak tempahan dibuka bermula awal bulan lalu.
Eksekutif Perhubungan Awam Holiday Villa, Noor Muliana Zahari berkata, harga istimewa pembelian awal adalah RM55 bagi dewasa, manakala RM30 bagi kanak-kanak dan warga emas.
Menurutnya, kadar harga biasa bagi bufet Ramadan di hotel itu pada tahun ini ditawarkan pada kadar RM89 bagi dewasa, manakala kanak-kanak dan warga emas RM40 seorang.
“Harga bufet Ramadan untuk dewasa tahun lalu adalah RM79, kanak-kanak RM35 dan warga emas RM50. Tahun ini, kami masih cuba kekalkan harga yang berpatutan dengan kualiti dan kepelbagaian menu.
“Holiday Villa menyasarkan 5,400 pelanggan hadir untuk berbuka puasa sepanjang 30 hari bulan Ramadan. Penjualan tempahan awal sebanyak 1,500 daripada 3,000 baucar yang ditawarkan habis terjual pada bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, bufet Ramadan hotel itu disediakan untuk 180 orang setiap hari, namun makanan yang disediakan tanpa had hingga pukul 10 malam.
Katanya, menu yang menjadi tarikan utama termasuk ayam goreng varuval, ikan keli masak lemak daun kesum, daging atau kambing gulai kawah bersama nasi Arab, lala masak lemak putih dan asam pedas ikan patin selain mi celup Lek Siam.
“Holiday Villa menyediakan pelbagai hidangan tradisional dan istimewa yang dimasak sendiri oleh ketua cef hotel,” katanya.














