KOPITIAM sinonim dengan masyarakat Malaysia terutama bagi mendapatkan menu-menu tradisi.
Tidak kira untuk bersarapan, makan tengah hari atau makan malam, kopitiam sentiasa menyajikan makanan yang sesuai untuk sepanjang hari.
Kehadiran satu lagi jenama kopitiam, Otentik Kopitiam @Spectrum Ampang, kini menambah pilihan destinasi yang menawarkan makanan tempatan terutama buat penduduk sekitar Bandar Baru Ampang, Selangor dan pengunjung Spectrum Shopping Mall.
Berkonsepkan kopitiam moden yang mengekalkan identiti cita rasa Malaysia, kafe itu tampil sebagai ruang santai untuk menikmati hidangan klasik tempatan.
Menurut pemilik Otentik Kopitiam, Muhammad Hazwan Kamardin, lokasi kedai di dalam Spectrum Shopping Mall merupakan satu strategi untuk menyasarkan pelanggan yang pelbagai termasuk pekerja pejabat, keluarga dan pelajar.
“Otentik Kopitiam berada di kawasan tumpuan komuniti, sekali gus menjadikan kafe ini sesuai sebagai tempat persinggahan untuk sarapan, makan tengah hari atau minum petang.
“Dari segi konsep, kami mengetengahkan tema ‘otentik’ yang selari dengan namanya.
“Ia menekankan pengalaman kopitiam Malaysia yang sinonim dengan budaya tempatan, namun dipersembahkan dalam suasana lebih kemas, moden dan mesra pelanggan,” katanya ketika majlis pelancaran Otentik Kopitiam di Spectrum Ampang baru-baru ini.

Tambahnya, menu ditawarkan pula memberi fokus kepada hidangan tradisional tempatan yang sudah sebati dengan selera orang ramai.
Antara menu tumpuan adalah kopi klasik Malaysia, teh tarik, nasi lemak, mi dan bihun, selain beberapa hidangan sarapan serta makanan harian yang sesuai dinikmati pada bila-bila masa.
Dalam pilihan menu ini, antara sajian yang menjadi pilihan popular pelanggan adalah mi siam ayam rendang, mi bandung Muar, nasi lemak basmathi ayam rempah, mi kari laksa, jemput pisang dan roti bakar Kluang.
Kongsinya lagi, menu-menu yang ditawarkan di Otentik Kopitiam adalah warisan turun-temurun keluarganya.
“Semua sajian tempatan di sini merupakan resipi daripada ibu yang saya belajar dan olah sendiri untuk pelanggan kami.
“Keistimewaan ini yang membezakan kami dengan kopitiam lain kerana keasliannya terjaga dengan mengekalkan resipi dari kampung ke bandar,” ujarnya.
Pendekatan itu mencerminkan usaha Otentik Kopitiam untuk mengekalkan rasa yang dekat dengan pelanggan tempatan. Selain itu, minuman kopi dan teh menjadi antara tarikan utama, khususnya bagi mereka yang menggemari minuman gaya kopitiam.

Minuman seperti kopi O dan teh tarik dilihat sebagai pelengkap kepada makanan, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia gaya hidup masyarakat Malaysia.
Ujarnya lagi, Otentik Kopitiam membawa pendekatan yang sederhana tetapi relevan dalam industri makanan dan minuman tempatan.
“Kami mengekalkan identiti makanan Malaysia dan menggabungkannya dengan persekitaran kopitiam moden.
“Kafe ini berpotensi menjadi salah satu lokasi pilihan komuniti setempat untuk menikmati hidangan harian.
“Kehadiran kami bukan sahaja memeriahkan tawaran makanan di Spectrum Shopping Mall, malah menyumbang kepada usaha mengekalkan budaya kopitiam sebagai sebahagian daripada warisan gaya hidup di negara ini,” tuturnya.














