fbpx
Suasana acara Bezza Day 4.0 di parkir 1A MAEPS, Serdang hari ini.

Komuniti Bezza semakin kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Ribuan pemilik dan peminat Perodua Bezza membanjiri tapak parkir 1A MAEPS di sini sempena Bezza Day edisi 4.0, sekali gus membuktikan populariti model sedan kompak itu terus kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Acara yang memasuki tahun keempat penganjurannya itu menjadi medan pertemuan komuniti pemilik Bezza dari seluruh negara, selain platform untuk mempamerkan kreativiti modifikasi dan gaya kenderaan masing-masing.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Syamim Zulkifli, perhimpunan itu mendapat sambutan luar biasa tahun ini.

Muhammad Syamim (tiga dari kanan) dan Shah Affendi (tiga dari kiri) bersama warga kerja Bezza Day 2026.

Katanya, Bezza Day akan terus berkembang sebagai antara acara komuniti automotif paling berpengaruh di negara ini.

“Setiap tahun jumlah penyertaan meningkat. Ini membuktikan Bezza Day bukan sekadar acara biasa, tetapi sudah menjadi pertemuan penting bagi komuniti pemilik Bezza,” katanya.

Turut hadir Pengarah Program Bersama, Shah Affendi Saripuddin.

Pada edisi pertama, sekitar 1,000 buah Bezza menyertai acara tersebut sebelum meningkat kepada 2,000 kenderaan pada edisi berikutnya, manakala tahun ini jumlah itu melonjak kepada lebih 3,000 kereta.

Muhammad Syamim menjelaskan bahawa penyertaan bukan sahaja datang dari Semenanjung, malah melibatkan peminat dari Sabah dan Sarawak.

Acara itu turut mendapat sokongan penaja industri automotif seperti OMG Car Accessories dan Mr Absorber yang menyediakan pelbagai produk serta hadiah menarik kepada pengunjung.

Sementara itu, Shah Affendi berkata, objektif utama Bezza Day adalah untuk menghimpunkan komuniti pengguna Bezza di bawah satu platform yang lebih tersusun.

“Bezza Day bukan sekadar pameran kereta. Ia adalah medium untuk menyatukan komuniti, berkongsi idea dan pengalaman, selain membina jaringan antara pemilik Bezza,” katanya.

Selain pameran kenderaan, Bezza Day 2026 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk cabutan bertuah dan pameran aksesori automotif.

Secara keseluruhan, Bezza Day 2026 edisi 4.0 bukan sahaja menjadi simbol populariti Perodua Bezza, malah mencerminkan perkembangan budaya komuniti automotif yang semakin rancak di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI