Oleh Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid
SEJAK 2012, satu doa tidak pernah lekang daripada bibir saya selepas solat fardu: “Ya Allah, tolong menangkanlah Islam di Syria.”
Doa itu lahir ketika dunia Arab digoncang Arab Spring, saat Syria tenggelam dalam konflik berdarah yang memisahkan rakyatnya sendiri.
Ketika itu, pelbagai kumpulan muncul membawa panji perjuangan masing-masing, Free Syrian Army, Ajnad al-Sham, Jabhat al-Nusra sehinggalah kemunculan kumpulan ekstrem Daesh yang menginstitusikan keganasan atas nama agama.
Doa saya tidak pernah memihak kepada mana-mana kumpulan, sebaliknya bersifat umum.
Selepas persaraan wajib dari USM, saya mengambil kesempatan bermusafir dari Samarkand dan Bukhara di Uzbekistan, sehinggalah ke Jordan.
Namun, peluang menjejakkan kaki ke Syria pada akhir Oktober tahun lalu adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.
Dari Amman, kami menaiki bas selama kira-kira tujuh jam menuju ke Damsyik.
Syria bukan destinasi pelancongan biasa, ia sebuah negara yang masih berdarah, berparut dan masih cuba berdiri semula selepas perang saudara bertahun-tahun.
Kami berada di Syria sekitar dua hari, sempat menziarahi Damsyik dan Homs. Namun, tempoh singkat itu cukup untuk meninggalkan kesan mendalam.
Bangunan-bangunan berlubang kesan peluru masih berdiri bisu. Infrastruktur negara kelihatan tenat, mencerminkan kekangan kewangan kerajaan baharu.
Dengan bantuan seorang warga Syria yang pernah menetap di Malaysia, Abu Yusuf (bukan nama sebenar), kami menginap di sebuah hotel yang digambarkan sebagai antara ‘terbaik’ di Damsyik. Hakikatnya, ia menjadi hotel paling daif pernah saya diami di luar negara dengan bekalan elektrik terputus dari semasa ke semasa, namun tetap disyukuri.
Damsyik tetap mempesona dengan sejarahnya. Masjid Umawi menjadi destinasi utama kami, di samping menziarahi makam para sahabat Rasulullah SAW seperti Bilal ibn
Rabah, Muawiyyah ibn Abu Sufyan, Salahuddin al-Ayubi dan Nabi Yahya AS, yang kepalanya dipercayai disemadikan di situ.
Di Homs pula, kami menjejakkan kaki ke Krak des Chevaliers, istana Perang Salib yang dirampas tentera Islam pada 1271M. Walaupun diiktiraf sebagai tapak warisan, istana ini turut menjadi mangsa perang saudara.
Di dalamnya masih terdapat ruang masjid dan mimbar peninggalan tentera Muslim. Seorang ahli rombongan melaungkan azan yang bergema indah di ruang batu tanpa pembesar suara.
Kami menunaikan solat Jumaat di Masjid Khalid al-Walid. Kehadiran pelancong asing yang jarang menjadikan kami tumpuan penduduk tempatan.

Seusai solat, kami dipertemukan dengan mufti Homs yang membawa kami menziarahi makam Khalid al-Walid. Pintu kaca makam yang biasanya tertutup dibuka sebagai tanda penghormatan kepada tetamu dari Malaysia.
Di sebalik kesusahan hidup, orang Syria kekal ramah dan berbudi bahasa.
Peminta sedekah kelihatan di mana-mana, namun senyuman mereka tidak pernah pudar. Ia mengingatkan saya kepada hadis Rasulullah SAW tentang keberkatan bumi Syam yang diuji, namun tetap dimuliakan.
Namun realiti pasca perang tetap mencengkam. Sistem birokrasi masih pincang. Urusan imigresen di sempadan Jordan-Syria memakan masa hampir dua jam. Kami turut berdepan kekeliruan apabila pegawai imigresen tidak memahami mengapa nama Muslim Malaysia tiada ‘surname’.
Selepas bantuan rakan pelajar Malaysia di Jordan, kami akhirnya dibenarkan keluar. Nafas lega dihela apabila bas memasuki semula Jordan.
Namun, hati saya tertinggal di Syria iaitu sebuah negara yang telah lama saya doakan, kini saya lihat sendiri luka dan harapannya.














