KUALA LUMPUR – Pembinaan kuil masyarakat India di negara ini perlu mengikut peraturan undang-undang seperti pembinaan masjid, surau ataupun gereja.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya peraturan itu tidak dipatuhi ia akan menimbulkan kebencian kepada pihak lain.
“Saya tegaskan, kawan-kawan India, pernahkah saya tidak setuju dengan pertambahan kuil yang mengikut peraturan? Mesti ikut peraturan sama seperti masjid, surau atau gereja.
“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya hanya kebencian dan masalah tidak akan selesai. Sebab itu saya terpaksa keluarkan arahan tegas semalam untuk hentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat turut memberi amaran terhadap tindakan segelintir pihak yang cuba menjadi ‘hero’ dalam isu kuil sehingga menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.
“Sudah lama kita biarkan berlarutan, semua orang nak jadi hero. Sekarang orang pergi kawasan kuil jadi hero ekstrem, akhirnya kita korbankan kepentingan negara,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














