fbpx
Gambar hiasan.

Jalan sekitar KL ditutup 7 Februari sempena MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar akan ditutup sepenuhnya secara berperingkat bermula esok bagi memberi laluan kepada program MotoGP Season Launch 2026 yang berlangsung di sekitar kawasan KLCC.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, langkah penutupan ini dibuat secara terancang bagi memastikan keselamatan orang ramai dan kelancaran acara.

“Penutupan jalan ini dilaksanakan secara berperingkat dan terkawal bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran Program MotoGP Season Launch 2026. PDRM akan menempatkan pegawai dan anggota trafik di lokasi strategik bagi membantu aliran trafik sepanjang tempoh penutupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penutupan jalan tersebut dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia bagi memastikan kelancaran acara, keselamatan pengguna jalan raya serta orang awam sepanjang program berlangsung.

“Penutupan jalan akan berkuat kuasa pada 7 Februari 2026 bermula pukul 2 petang hingga 12 tengah malam membabitkan beberapa laluan utama di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.

“Ia melibatkan penutupan penuh Jalan Ampang bagi kedua-dua laluan masuk dan keluar dari persimpangan Jalan P. Ramlee / Yap Kwan Seng hingga persimpangan Jalan Mayang.

“Penutupan penuh turut dilaksanakan di Jalan Ampang bagi laluan masuk sahaja dari persimpangan Jalan P. Ramlee hingga persimpangan Jalan Persiaran KLCC.

“Manakala Jalan P. Ramlee di kawasan bersebelahan KLCC juga akan ditutup sepenuhnya dari persimpangan Jalan Ampang hingga persimpangan Jalan Pinang sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif serta sentiasa mematuhi arahan pegawai polis dan petugas trafik yang bertugas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN