PETALING JAYA – Seorang isteri berhak menuntut harta sepencarian untuk membesarkan anak-anak selepas kematian suami.
Menerusi hantaran peguam syarie di TikTok @Peguamsyarieadlyna, wanita itu berkata, adalah penting bagi adik-beradik arwah untuk mengetahui mengenai hak isteri dan anak-anak si mati.
“Kalau suami meninggal dunia, isteri dan anak-anak adalah waris utama walaupun anak semuanya adalah perempuan dan ayah arwah (suami) sudah meninggal.
“Adik-beradik arwah tidak boleh mengambil rumah sesuka hati kerana isteri akan mendapat satu daripada lapan bahagian dengan faraid.
“Baki harta itu barulah diberikan kepada adik-beradik sekiranya layak kerana majoriti bahagian rumah adalah milik isteri dan anak-anak,” katanya.
Malah katanya, adik-beradik si mati juga tidak boleh menghalau isteri, memaksa untuk menjual rumah dan menuntut tanpa proses mahkamah.
“Kalau rumah dibeli semasa perkahwinan, isteri boleh menuntut harta sepencarian. Kemudian, barulah baki difaraid,” ujarnya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi dalam kalangan netizen termasuk yang berkongsi pengalaman selepas kematian ketua keluarga masing-masing.
“Jangan mengalah. Di mahkamah, ada penasihat untuk bertanya. Abaikan saja kalau adik-beradik suami atau mentua ‘menyalak’ untuk faraid,” kata @Rt6325.
“Waktu arwah abang meninggal, kami adik-beradik tak tuntut dan bagi semua kepada kakak ipar sebab fikirkan anak saudara. Semoga arwah abang tenang di sana,” komen @Noryatidin. –KOSMO! ONLINE














