LONDON – Biarpun berjaya mengharungi prestasi yang luar biasa sepanjang musim ini, Arsenal dijangka tidak mampu untuk membolot gelaran quadruple musim ini walaupun dianggap calon terbaik memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Skuad kendalian Mikel Arteta itu berjaya mendahului saingan EPL dengan kelebihan enam mata, mara ke final Piala Liga Inggeris (EFL), meraih slot automatik ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara dan masih bersaing di Piala FA.
Bagaimanapun, bekas penyerang England, Michael Owen percaya bahawa Arsenal bukanlah pasukan yang terlalu kebal untuk mara ke final dalam semua kejohanan tersebut, sebaliknya mereka pasti berdepan kekecewaan.
“Saya rasa mereka cukup istimewa, kuat dan sangat cekap ketika bermain, namun saya tidak fikirkan begitu (Arsenal mampu raih quadruple). Mereka boleh memenangi Piala Liga Inggeris (EFL), tetapi dua lagi kejuaraan pasti akan jadi sukar buat mereka.
“Semua pasukan sudah memberikan fokus kepada Piala FA kerana liga pun hampir tamat, kemudian Liga Juara-Juara (UCL). Saya fikir kejohanan ini masih lagi terbuka buat semua pasukan,” katanya.
Dalam saingan EPL, The Gunners masih lagi unggul di puncak liga dengan 53 mata, berkelebihan enam mata berbanding Manchester City di tempat kedua.
Owen berpendapat, beliau belum melihat pasukan yang benar-benar bagus untuk bersaing dengan Arsenal dari aspek mengekalkan tahap konsisten dalam setiap perlawanan untuk memburu tiga mata penuh.
“Saya tidak fikir jumlah mata tersebut boleh meletakkan Arsenal dalam keadaan selesa. Di awal musim, pasukan yang mampu kalahkan Arsenal adalah Liverpool dan Manchester City, namun kini sedang bergelut,” katanya. AGENSI














