KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 54 penerima sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 di Istana Negara, hari ini.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berkenan berangkat ke istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, di sini.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Mendahului senarai penerima ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang dikurniakan Darjah Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima Darjah Kebesaran S.M.W ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Seri Nor Azmie Diron dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk kepada 15 penerima antaranya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang serta bekas atlet badminton kebangsaan, Datuk Soo Beng Kiang.
Turut dikurniakan P.M.W ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad; Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Pertama Datuk Mohd Razib Tahir dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd. Yani Daud,
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Johan Mahkota Wilayah kepada 15 penerima, Kesatria Mahkota Wilayah kepada enam penerima, Ahli Mahkota Wilayah kepada lima penerima dan Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah kepada sembilan penerima. – KOSMO! ONLINE













