IKAN baung kuning mempunyai peminatnya yang tersendiri dalam kalangan pemancing ikan air tawar.
Di Batang Lupar, Sarawak, populasi ikan baung kuning masih banyak disebabkan ia antara spesies ikan yang kurang ditangkap nelayan. Trip kali ini membawa saya ke hulu sungai ini untuk mencari baung kuning ini.
Persiapan trip
Set pancing yang digunakan ialah joran berkekuatan 10-15lb yang pendek kerana lebih mudah dikendalikan di atas bot berbanding joran yang panjang.
Joran-joran itu dipadukan bersama kekili saiz sederhana yang diisi tali utama berkekuatan 15 hingga 20 paun (lb) dan perambut antara 20 hingga 30lb kerana banyak reba di dasar sungai.
Bergantung kekuatan arus sungai kami guna batu ladung saiz tiga hingga lima bentuk bulat dan jenis ‘hidup’ bagi mengurangkan risiko sangkut di reba. Mata kail pula saiz antara satu hingga lima.
Umpan yang kami gunakan ialah umpan tapa atau dipanggil ‘kucur’
di sini yang dibuat sendiri oleh tekong Rasbinie.

Pagi yang meriah
Kami memulakan trip seawal pukul 6.30 pagi dengan mudik ke hulu Sungai Batang Lupar. Perjalanan dianggarkan sekitar 30 ke 40 minit. Sampai saja di lokasi kami terus melabuhkan umpan.
Kami tidak menunggu lama, joran milik Asrie terus direntap ganas. Mujur ia diikat kemas, jika tidak, pasti terjun ke air.
Dia tidak mengambil masa yang lama untuk menjinakkan baung kuning pertama trip ini. Tidak lama selepas itu, giliran tekong pula berentap dengan baung spesies
yang sama.
Kami singgah sekejap sahaja di satu-satu lubuk, jika tiada getuan, maka kami akan berpindah ke lubuk-lubuk lain sehinggalah waktu berehat pada tengah hari.
Petang
Sekitar pukul 3 petang, sesi memancing diteruskan semula. Kami pergi ke lubuk berdekatan dengan jeti.
Kali ini umpan Padil pula dirembat ikan, ikan terus mengheret tali ke kawasan reba.
Dia terpaksa merentap-rentap jorannya banyak kali untuk mengeluarkan ikan dari reba. Nasib baik ikan keluar dari reba dan terus dinaikkan.
Secara keseluruhannya kami semua berpuas hati dengan hasil trip itu dengan ikan yang bakal dibuat lauk sekeluarga.















