fbpx
QUARTARARO mengesahkan bahawa belum ada sebarang persetujuan dimeterai bersama Honda, namun mengakui rundingan sedang berjalan. - AFP

MotoGP: Quartararo nafi tinggalkan Yamaha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Juara dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo tampil menafikan laporan bahawa dia sudah menandatangani kontrak bersama pasukan Honda bagi musim 2027.

Bagaimanapun, pelumba Perancis itu mengesahkan bahawa rundingan dengan jenama Jepun itu sedang berjalan dan mengakui bahawa tiada sebarang perjanjian hitam putih dimeterai setakat ini.

Ketika ini, masa depan pelumba Perancis itu menjadi topik hangat perpindahan pelumba bagi tahun 2027, malah spekulasi bertiup kencang minggu lalu apabila Quartararo dilaporkan sudah mengikat perjanjian dua tahun bersama Honda yang bernilai €15 juta (RM70.5 juta).

“Honda adalah salah satu pasukan yang saya sedang berbincang. Saya akan mengambil masa yang diperlukan untuk membuat keputusan bagi tahun 2027, tetapi setakat hari ini, saya belum menandatangani apa-apa.

“Saya mempunyai orang yang tepat di sekeliling saya. Ia satu pertaruhan untuk saya dan juga untuk semua orang. Semua pihak akan cuba meyakinkan anda.Orang boleh bercakap apa sahaja yang mereka mahu, ia bukan mengenai wang, ia mengenai kembali memburu kemenangan,” tegas pelumba pasukan Yamaha itu.

Situasi di kem Yamaha juga dilihat kurang stabil apabila Pengarah Pasukan, Massimo Meregalli pada majlis pelancaran pasukan bulan lalu mengesahkan bahawa mereka belum memulakan perbincangan mengenai pembaharuan kontrak dengan Quartararo.

Quartararo, yang sebelum ini menandatangani kontrak dua tahun pada 2024 bernilai sekitar €12 juta (RM56.4 juta) setahun, dilaporkan kurang berpuas hati dengan versi awal enjin Yamaha V4 yang diujinya pada penghujung tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI