KUALA LUMPUR – Anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid memberi amaran akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang menyebarkan kenyataan berunsur fitnah melibatkan dirinya.
Nurulhidayah yang juga Exco Wanita UMNO menegaskan, beliau tidak akan berkompromi dengan dakwaan palsu membabitkan dirinya.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan perundangan untuk perkara yang berunsur fitnah ini. Tunggu,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas yang dimuat naik di media sosial hari ini.
Kenyataan tersebut merujuk kepada satu hantaran oleh sebuah akaun Facebook yang mengaitkan beliau dengan isu pelancaran minyak masak jenama Kak Long.
Hantaran itu memuat naik dua keratan artikel masing-masing bertajuk ‘Felda, FGV kini bawah tanggungjawab portfolio Zahid’ dan ‘Anak TPM lancar minyak masak jenama Kak Long’
Nurulhidayah namun tidak mendedahkan secara terperinci bentuk tindakan undang-undang yang bakal diambil terhadap pemilik laman Facebook berkenaan. – KOSMO! ONLINE














