KUALA TERENGGANU – Seramai 33 penyokong Selangor FC yang didakwa berarak dan membakar suar di Jabatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbrigde di sini semalam dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini bagi permohonan reman hari ini.
Mereka dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman tersebut secara berperingkat pada pukul 10.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, seramai 33 suspek tersebut merupakan sebahagian daripada 400 penyokong Selangor yang ditahan polis malam tadi.
“Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini untuk disoal siasat dan menjalani ujian urin.
“Penahanan tersebut bagi membantu siasatan dakwaan mereka mencetuskan kegusaran dan menganggu ketenteraman awam di Drawbrigde pada pukul 6.30 petang semalam,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, video klip video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Selangor berarak membawa bendera pasukan dan menyalakan suar di jambatan tersebut sebelum menuju ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin akan membuat sidang akhbar berhubung kes tersebut pada pukul 2.30 petang ini. – KOSMO! ONLINE














