fbpx
JIN WEI terpaksa akur muncul naib juara Thailand Masters selepas tewas 8-21, 3-6 kepada Sihag di final hari ini.

Jin Wei tarik diri, akur naib juara Thailand Masters

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei masih belum berjaya menamatkan kemarau panjang apabila gagal menamatkan aksi final Kejohanan Badminton Thailand Masters 2026 yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok sebentar tadi.

Jin Wei, 26, terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 3-6 di set kedua menentang pemain India, Devika Sihag yang menghuni ranking ke-63 dunia, selepas tewas 8-21 pada set pertama sekali gus menyaksikan impiannya meraih gelaran Jelajah Dunia BWF pertama tidak kesampaian.

Keputusan tersebut menyaksikan kemarau kejuaraan Jin Wei terus berlarutan sejak kali terakhir muncul juara pada 2018, menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas menewaskan pemain Denmark, Line Christophersen di pentas final.

Bagaimanapun, pencapaian mara ke final di Bangkok tetap dianggap sebagai perkembangan positif buat bekas juara dunia remaja dua kali itu selepas beberapa musim kebelakangan ini bergelut dengan kecederaan dan mengekalkan konsistensi prestasi permainan.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Jin Wei dua musim terdahulu sekadar mara ke pusingan kedua, manakala pada 2023, dia hanya berjaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Hong Kong sebelum tewas kepada pemain China, Zhang Yi Man.

Lebih signifikan, ini adalah penampilan final kedua Jelajah Dunia BWF dalam kariernya yang boleh dijadikan sebagai isyarat kebangkitan selepas ‘hilang’ seketika daripada aksi kompetitif selepas Korea Masters pada November tahun lalu.

Jin Wei tidak menyertai beberapa kejohanan utama termasuk Jepun Masters, Terbuka Australia dan Antarabangsa Syed Modi yang menjadi kejohanan terakhir Jelajah Dunia BWF 2025, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tahap kecergasan dan kesediaannya.

Ketika ini, hanya legenda perseorangan wanita negara, Datin Seri Wong Mew Choo pernah menjulang gelaran tertinggi Jelajah Dunia BWF menerusi kejayaan di Terbuka China 2007 dan Super Series Akhir BWF 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN