PETALING JAYA – Hasrat seorang lelaki untuk diterima dan berkawan baik dengan rakan-rakan pejabatnya membuatkan dia sanggup berhabis wang ringgit, termasuk membelanja makan dan minum hampir setiap bulan.
Kisah itu dikongsikan oleh isterinya menerusi satu hantaran di Threads, apabila wanita berkenaan meluahkan kebimbangan terhadap sikap suaminya yang terlalu bersungguh-sungguh mahu disenangi rakan sekerja.
Menurut wanita itu, ketika awal suaminya melapor diri di tempat kerja baharu, kebanyakan rakan pejabat kurang mesra dan jarang bertegur sapa, menyebabkan lelaki berkenaan berasa terpinggir.
“Suami saya jenis susah nak berkawan. Bila masuk kerja baharu, orang tak berapa layan dia. Jadi dia ambil jalan belanja orang pejabat makan dan minum supaya mereka nak berkawan dengan dia,” katanya.
Tambah wanita itu, suaminya akan membelanjakan rakan-rakan pejabat dua hingga tiga kali sebulan dan ada kalanya jumlah perbelanjaan mencecah ratusan ringgit.
Lebih menyedihkan, wanita itu mendedahkan terdapat situasi di mana suaminya sanggup meminjam wang daripadanya semata-mata untuk membelanja rakan sekerja.
“Ada masa dia sampai pinjam duit saya sebab nak belanja ‘officemate’. Saya kasihan tengok dia, tapi dalam masa sama risau sebab itu bukan cara yang betul untuk cari kawan,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap lelaki berkenaan, selain menasihatkan agar persahabatan tidak dibina atas dasar wang dan habuan.
“Kalau kawan sebab awak belanja, itu bukan kawan ikhlas,” tulis Syafiq.
“Sedihnya, sampai pinjam duit isteri demi nak rasa diterima di tempat kerja. Jangan susahkan diri dan keluarga demi perhatian orang luar. Esok-esok susah, mereka tetap buat tak tahu,” komen Ash. – KOSMO! ONLINE














