PETALING JAYA – Sebanyak 50 peralatan SIM Box dan 5,000 kad SIM telah dirampas dalam satu operasi bersepadu bagi membanteras penyalahgunaan peralatan telekomunikasi yang digunakan untuk tujuan jenayah dan penipuan dalam talian.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, operasi itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Kajang, baru-baru ini susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing, bagi aktiviti jenayah siber.
Menurut MCMC, peralatan berkenaan sering disalahgunakan untuk mencipta akaun palsu secara besar-besaran, memintas kawalan keselamatan platform digital serta memudahkan penipuan dalam talian dan jenayah siber lain.
“Penyalahgunaan ini memberi ancaman kepada integriti rangkaian komunikasi negara serta keselamatan pengguna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas kenyataan itu, operasi dan siasatan diterajui sepenuhnya oleh PDRM, manakala MCMC menjalankan siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Tambahnya, kegiatan penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing membolehkan penjenayah mencipta identiti palsu bagi menjalankan aktiviti penipuan, sekali gus membahayakan orang awam.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
MCMC menegaskan, penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM untuk mencipta akaun palsu dalam talian merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara.
“Penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu memperketatkan kawalan pendaftaran kad SIM dalam menjamin keselamatan digital.
“MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM dan agensi penguatkuasaan lain bagi mencegah jenayah siber serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














