KUALA LUMPUR – Satu slot di perlawanan akhir acara perseorangan wanita pada Kejohanan Badminton Thailand Masters menjadi milik Malaysia selepas dua pemain negara, Wong Ling Ching dan Goh Jin Wei akan bertemu sesama sendiri di separuh akhir esok.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok sebentar tadi, Ling Ching dipaksa bekerja keras apabila memerlukan tiga set untuk menewaskan pemain India, Isharani Baruah 18-21, 21-16, 21-13.
Berdepan pemain No.48 dunia, Ling Ching tersentak seketika apabila tewas di set pertama sebelum dia melakukan kebangkitan dalam dua set berikutnya bagi mencatat kemenangan kedua ke atas Baruah dalam tiga pertemuan.
Selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Indonesia Masters minggu lalu, ini merupakan peluang terbaik buat Ling Ching untuk memenangi gelaran pertamanya bagi saingan Jelajah Dunia 2026.

Menanti Ling Ching di separuh akhir esok adalah bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei yang menewaskan seorang lagi pemain negara, K. Letshanaa menerusi keputusan tiga set 12-21, 21-17, 21-19.
Walaupun Letshanaa dianggap sebagai pilihan untuk meneruskan kemaraan, namun Jin Wei menunjukkan semangat juang cukup tinggi pada perlawanan tersebut meskipun beberapa kali terbaring di dalam gelanggang.
Sebagai rekod, ini merupakan separuh akhir pertama buat pemain profesional itu selepas kali terakhir dia melakukannya pada kejohanan Terbuka Hong Kong tiga tahun lalu.
Pertembungan antara Ling Ching dan Jin Wei pasti menarik memandangkan kedua-dua pemain itu tidak pernah bertemu sebelum ini, sekali gus menjadikan aksi separuh akhir esok sebagai perlawanan sulung mereka. – KOSMO! ONLINE














