PETALING JAYA – Seramai 132 tahanan warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Batam dari Terminal Feri Pasir Gudang, Johor, semalam.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan berkata, pelaksanaan itu diselaraskan menerusi Program Penghantaran Pulang.
Menurutnya, program tersebut melibatkan tahanan dari lima Depot Imigresen di seluruh Semenanjung.
“Pecahan membabitkan sebanyak 70 orang di Depot Imigresen Kemayan, Depot Imigresen Lenggeng (30), Depot Imigresen Langkap (15), Depot Imigresen Pekan Nenas (11) dan Depot Imigresen Tanah Merah (6),” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan program itu mencerminkan pendekatan pengurusan yang teratur dan berfasa dalam pelaksanaan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE














