SINGAPURA – Ekor sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) rosak semasa cubaan mendarat di Lapangan Terbang Changi selepas tiba dari Manila dalam keadaan cuaca berangin, lapor portal berita VnExpress.
Seorang jurucakap SIA berkata kepada akhbar The Straits Times, kesemua 256 penumpang dan 16 kru pesawat jenis Airbus A350-900 pada Sabtu lalu itu selamat tanpa sebarang kecederaan.
Penerbangan SQ917 tersebut melakukan pendaratan berisiko tinggi pukul 6.07 petang akibat keadaan angin di lapangan terbang.
Jurucakap itu berkata, semasa mendarat ekor pesawat terkena landasan.
Pendaratan kemudian dibatalkan sejurus sebelum atau selepas pesawat cuba mendarat di landasan.
“Pesawat itu membuat pusingan semula sebelum mendarat dengan selamat pukul 6.32 petang (waktu tempatan) dan bergerak ke terminal tanpa sebarang masalah. Semua penumpang dan kru turun seperti biasa,” demikian menurut SIA. – AGENSI














