fbpx
Anthony semasa berucap pada Pelancaran Program SBST-Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Kerajaan sambung projek laluan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kerajaan bersedia mengaktifkan semula projek sambungan perkhidmatan kereta api dari Rantau Panjang ke Sungai Golok, Thailand dalam usaha untuk memperkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi antara dua negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek membaik pulih dan pembangunan semula landasan kereta api sedia ada di antara Pasir Mas dan Rantau Panjang itu sudah memasuki peringkat penyediaan dokumen tender.

Katanya, projek tersebut sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Tender projek itu sedang dalam proses penyediaan dan akan diumum dalam masa terdekat. Jika semuanya berjalan lancar, projek tersebut dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua tahun.

“Pelaksanaan sambungan di Thailand itu bergantung kepada keadaan politik negara tersebut berikutan beberapa pertukaran kerajaan dan Menteri Pengangkutan dalam tempoh setahun kebelakangan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST)-Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Anthony memberitahu, beliau sudah berbincang dan pelbagai perkara sudah diputuskan bersama Menteri Pengangkutan Thailand sebelum ini.

Menurutnya, perbincangan lanjut dijangka hanya dapat diteruskan selepas pembentukan kerajaan baharu Thailand selepas pilihan raya di negara tersebut.

“Secara prinsipnya negara itu melalui pengendali kereta api mereka, State Railway of Thailand (SRT) turut menyatakan hasrat untuk menyambung semula laluan tersebut.

“Thailand juga memang mahu sambungan itu dilaksanakan dan kita pula sudah bersedia,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Thailand sedia mengemukakan cadangan bagi membuka semula laluan kereta api Sungai Golok-Rantau Panjang sebagai usaha memperkukuh hubungan pengangkutan dan ekonomi antara Malaysia serta negara berkenaan.

Jurutera Penyelia, Bahagian Penambahbaikan Landasan Zon 1 SRT, Pattaphong Boonkaew berkata, langkah itu seiring de­ngan rancangan SRT untuk membina landasan berkembar dari Hat Yai ke Sungai Golok sepanjang 215 kilometer.

Katanya, pembinaan landasan kedua dari Hatyai ke Sungai Golok itu dianggarkan menelan belanja sehingga 44.9 bilion baht (RM5.8 bilion) dan dijangka mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI