fbpx
Fadil (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas oleh pihaknya pada sidang akhbar kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran syabu, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

Homestay jadi transit syabu RM13 juta, sindiket tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah inap desa (homestay) sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran dadah tumpas apabila polis merampas 261 kilogram syabu bernilai RM13 juta di Segambut, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 32 tahun.

Menurut beliau, tiga suspek ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah inap desa kira-kira pukul 7 malam, sebelum seorang lagi suspek diberkas dalam operasi susulan berhampiran lokasi sama.

“Hasil pemeriksaan di ruang tamu homestay itu membawa kepada penemuan 13 guni berisi 250 bungkusan plastik teh Cina disyaki dadah jenis syabu. Anggaran berat keseluruhan rampasan adalah 261 kilogram dengan nilai pasaran RM13 juta,” katanya pada sidang akhbar kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran syabu, hari ini.

Fadil berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi menyewa homestay secara singkat, sekurang-kurangnya empat hari, sebelum berpindah ke lokasi lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Dadah berkenaan diedarkan ke pasaran tempatan termasuk kelab malam di sekitar ibu negara.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak enam bulan lalu dan menggunakan beberapa homestay berbeza sebagai pusat operasi, dengan sewaan kira-kira RM200 bagi satu malam” ujarnya.

Katanya, satu bungkusan syabu seberat hampir satu kilogram dianggarkan bernilai RM50,000 dan rampasan tersebut mampu menampung keperluan kira-kira 1.3 juta penagih.

Beliau berkata, polis turut menyita wang tunai RM100 dan dua buah kenderaan iaitu Perodua Alza dan Toyota Vellfire yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu

Tiga daripada suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI