MANCHESTER – Legenda Manchester United, Paul Scholes mendakwa Arsenal akan menjadi ‘pasukan terburuk dalam sejarah’ jika akhirnya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Arsenal ketika ini empat mata mendahului carta liga selepas gagal melebarkan penguasaan itu disebabkan kekalahan kepada Manchester United ketika dua pencabar utama, Manchester City dan Aston Villa masing-masing memenangi perlawanan.
Tanpa berselindung, Scholes terus mengkritik Arsenal yang begitu terdesak mendakap gelaran EPL pertama sejak kali terakhir memenanginya pada 2004.
“Kalau Arsenal menang liga (EPL), ini mungkin pasukan terburuk dalam sejarah memenanginya. Jika anda fikir mahu memilih pasukan terbaik tahunan dalam kalangan empat teratas, tiada seorang pun pemain Arsenal akan tersenarai.
“Lihat juara sebelum ini, Liverpool, sangat bagus. Mungkinlah ada seorang iaitu (Bukayo) Saka tetapi dia tidaklah begitu hebat. Dia tak jaringkan banyak gol atau cipta bantuan jaringan,” kata Scholes.
Arsenal sebelum ini dilabel ‘set-piece FC’ kerana keupayaan menjaringkan gol menerusi gerakan itu terutamanya sepakan penjuru hingga menghasilkan 26 gol sepanjang musim ini.
Bagaimanapun, peratusan itu semakin menurun sejak kebelakangan ini yang mana ia boleh menjadi antara faktor skuad bimbingan Mikel Arteta tersebut kelihatan bergelut untuk memenangi perlawanan.
“Arsenal tiada superstar yang betul-betul berkelas dunia di atas padang buat masa ini. Mereka perlukan seorang atau dua jika mahu memenangi trofi (EPL),” jelas bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher. – AGENSI














