PETALING JAYA – “RM3,000 ini saya tanggung.”
Itu jaminan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong ketika menyampaikan sumbangan di bawah Skim Pembiayaan OKU Tekun Nasional kepada seorang tukang urut dikenali sebagai Sharina, dalam sesi lawatan dan ziarah usahawan kecil di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Melalui satu hantaran di laman TikTok, Steven berkata, sumbangan tersebut diberikan sebagai suntikan modal bagi membantu wanita itu mengembangkan perniagaan urut yang telah diusahakan sejak 2016.
“Ini adalah sebagai satu pemberian dan sokongan supaya perniagaannya dapat terus berkembang,” katanya.
Sharina yang berasal dari Kedah memaklumkan, dia berhijrah ke Pulau Pinang dan menjalankan perkhidmatan urut di sebuah kedai berhampiran kawasan Flat Desa Wawasan, Bukit Mertajam bagi meneruskan kehidupan, manakala suaminya pula berasal dari Perak.
“Dia berniaga di Bukit Mertajam, Bukit Mertajam itu kawasan saya. Takkan saya nak biar mereka begini,” ujar Steven.
Steven turut memuji kesungguhan dan kecekalan Sharina dalam membina perniagaan walaupun berdepan cabaran hidup.
Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat memberi nafas baharu kepada perniagaan Sharina serta membantu meningkatkan taraf hidup keluarganya. – KOSMO! ONLINE
@stevensimck Saya harap perniagaan Puan Sharina lepas ni lebih hebat dengan sokongan @TEKUN Nasional #hebatkanperniagaanmalaysia #jalanteruih #bukitmertajam #tekun #fyp ♬ Beanie – Seb Wery














