fbpx
Anthony berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Bulan Januari 2026 di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

Aktiviti penguatkuasaan JPJ sepanjang tahun, bukan sekadar bermusim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Aktiviti penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) termasuk Op Perang Lebih Muatan akan terus dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan sekadar tempoh bermusim sahaja.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, susulan itu, semua pemain industri diingatkan agar tidak membuat sebarang kesalahan undang-undang bagi mengelakkan kumpulan itu dikenakan tindakan tegas.

“Tahun lalu kita tunjuk ketegasan, melancarkan perang habis-habisan kepada operasi had muatan berlebihan. Ini ada kesan besar kerana ramai mereka ambil tahu kita serius.
“Kerana kita lancarkan operasi itu selama dua bulan, (maka) mereka rasakan ia telah selesai dan tamat pada Disember lalu.

“Jadi, saya mahu tegaskan bahawa aktiviti penguatkuasaan bukan bermusim, ia berjalan sepanjang tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini tadi.

Tahun lalu, Ops Perang Lebih Muatan yang dilancarkan bermula pada 14 Oktober hingga 31 Disember telah memeriksa sebanyak 169,965 buah kenderaan dengan 3,563 daripadanya didapati melakukan kesalahan membawa muatan melebihi had berat dibenarkan.

Susulan itu, sebanyak 6,843 notis dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan selain 4,983 jumlah Saman JPJ(P)22 APJ 1987 turut dikeluarkan.

Pada masa sama, Anthony berharap mesej tersebut dapat diterima oleh semua pemain industri seterusnya tidak membuat sebarang kesalahan jalan rsya.

“Make no mistake (jangan buat kesalahan), bukannya sekarang tiada penguatkuasaan, bukan sudah habis operasi pada Disember kita akan perlahan.

“Kalau buat kita akan ambil tindakan tegas, sebab saya tahu dekat luar sana ada macam-macam khabar angin kata operasi tamat, boleh ambil lebih muatan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JPJ juga perlu meneruskan operasi penguatkuasaan seterusnya memastikan jalan raya kekal selamat digunakan untuk rakyat.

“Tahun ini penguatkuasaan bukan sahaja fokus kepada kenderaan berat, sebaliknya JPJ perlu kuatkuasakan kepada pemandu mabuk dan mat rempit serta memastikan keselamatan penunggang motosikal terjaga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI