ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengumumkan tiga kadar zakat fitrah bagi tahun ini iaitu RM9, RM15 dan RM23, berbanding dua kadar yang ditetapkan tahun lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, kadar itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam di Kedah.
Katanya, penetapan tersebut juga dibuat mengikut kadar timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram (kg) beras.
“Kadar zakat fitrah yang ditetapkan adalah RM9 bagi beras tempatan, RM15 bagi beras import dan seumpamanya serta RM23 bagi beras basmathi dan seumpamanya,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan penetapan kadar Zakat Fitrah Kedah 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM13.5 juta berbanding kutipan tahun lepas sebanyak RM12.9 juta dengan pengagihan dijangka kepada 27,300 asnaf dalam kalangan fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.
“Bagi memudahkan orang ramai, LZNK menyediakan sebanyak 23 saluran bayaran secara dalam talian untuk menunaikan zakat fitrah pada tahun ini seperti portal dan aplikasi rasmi LZNK, e-wallet dan perbankan internet.
“Seramai 2,788 ejen amil dan 183 agensi dilantik turut menggunakan kaedah digital seperti kod QR dan sistem MyAmil. Resit pembayaran akan diberikan secara digital, manakala kaedah kutipan kupon manual masih disediakan melalui ejen amil terpilih sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, kenaikan kadar zakat fitrah berbanding tahun lalu didorong oleh faktor peningkatan harga barangan termasuk beras.
“Kami difahamkan, kadar zakat fitrah di kebanyakan negeri lain juga akan bermula antara RM9 ke RM10 kecuali sebuah negeri yang mungkin kekal bermula pada kadar RM7 untuk beras tempatan,” katanya.
Jumlah kutipan keseluruhan zakat dan lain-lain hasil di Kedah tahun lalu mencecah RM322.86 juta yang menyaksikan peningkatan RM18.05 juta atau 5.92 peratus berbanding 2024, sekali gus melepasi sasaran ditetapkan berjumlah RM318.88 juta.
Seramai 187,160 pembayar zakat direkodkan tahun lalu termasuk 42,174 pembayar baharu, dengan 87.34 peratus kutipan diterima secara tanpa tunai yang mencerminkan keberkesanan inisiatif pendigitalan dilaksanakan LZNK.
Bagi prestasi agihan pula, LZNK mengagihkan sebanyak RM346.14 juta kepada lapan golongan asnaf di seluruh negeri, manakala jumlah kutipan sedekah yang direkodkan adalah sebanyak RM584,302.66 daripada 8,820 penyumbang. – KOSMO! ONLINE














