PETALING JAYA – Pemilik sebuah premis kedai cermin mata memohon bantuan orang ramai mengesan seorang individu yang dipercayai mencuri dua unit cermin mata hitam berjenama di sebuah pasar raya besar di Rawang, Selangor, kelmarin.
Menerusi perkongsian video televisyen litar tertutup (CCTV) di Threads oleh @oxfordrawang, kelihatan seorang lelaki yang sedang mendukung seorang kanak-kanak dipercayai mengambil cermin mata dan menyembunyikannya di dalam poket sebelum mengulang tindakan sama buat kali kedua.
Lelaki tersebut turut dipercayai menyamar sebagai pelanggan dengan alasan ingin menukar bingkai cermin mata.
Bagaimanapun, selepas kejadian itu, pihak premis mendapati dua unit cermin mata hitam berjenama telah hilang.
“Video CCTV menunjukkan seorang lelaki yang sedang mendukung anak, telah mencuri dua unit cermin mata hitam jenama Oakley. Lelaki dalam video ini menyamar sebagai pelanggan yang nak tukar bingkai cermin mata. Dia minta kami carikan bingkai yang sesuai dengan cermin yang dia bawa.
“Namun selepas itu, didapati dia telah mencuri dua cermin mata Oakley. Sekiranya anda mengenali atau ada maklumat berkaitan individu di dalam video tersebut, sila DM (mesej peribadi) kami. Mohon jasa baik anda semua untuk sebarkan video rakaman CCTV ini. Terima kasih,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang turut meluahkan rasa bimbang dan berang dengan tindakan lelaki tersebut.
“Buat laporan polis. Mula-mula mencuri, lama-lama nanti merompak. Bagi pengajaran kepada dia. Apa yang dia buat tu salah dari segi undang-undang dan agama,” komen Kamarul Izuan.
“Ya Allah, dengan siap dukung anak lagi dia mencuri ya,” kata Zuriana.
“Tidak rasa bersalah ke bang mencuri siap depan anak lagi. Kesian anak,” komen Riza Aini. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














