fbpx
Konsert Healing Nite 2026, dibarisi barisan artis popular dalam dan luar negara termasuk penyanyi kelas A, Anuar Zain.

Muzik ‘suplemen’ kehidupan, jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAM Sabtu lalu melakar satu lagi sejarah apabila Stadium Merdeka di Kuala Lumpur dibanjiri lebih 20,000 jiwa-jiwa yang mahu melepaskan tekanan dengan cara ‘healing’ menonton persembahan nyanyian.

Menerusi Konsert Healing Nite 2026, pengunjung dibuai dengan puluhan lagu berkonsep ‘penyembuhan’ daripada barisan artis popular dalam dan luar negara termasuk penyanyi kelas A, Anuar Zain.

Bagi Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, muzik sememangnya suplemen penting untuk kehidupan dan jiwa.

“Ia (muzik) bertindak sebagai terapi untuk mengurangkan stres, meningkatkan emosi, menenangkan fikiran, meningkatkan fungsi mental selain membantu dalam pemulihan penyakit seperti kemurungan.

“Muzik juga mampu memberikan semangat dan menceriakan mood seseorang, menjadikannya sebahagian daripada kesejahteraan menyeluruh,” katanya kepada Kosmo!.

Tambah pelantun lagu Sedetik Lebih itu, muzik baginya antara suplemen-suplemen kehidupan yang dikurniakan untuk menenangkan jiwa seseorang.

“Ia terletak kepada situasi seseorang, kalau penat kita dengar lagu apa, kalau sedih kita dengar lagu apa dan kalau geram kita dengar lagu apa.

“Setiap situasi itu mesti ada lagu-lagu tersendiri yang kita boleh relate (berkait) selain daripada kita balik kepada Allah dan yang itu merupakan yang utama,” katanya.

Ujar Anuar, kadangkala hati manusia memerlukan hanya satu ruang yang tenang, penuh rasa di mana muzik bertindak dan berbicara lebih daripada kata.

Senada dengan penyanyi legenda berusia 56 tahun itu ialah Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa, Psikologi dan Muzik (FoELPM) Universiti SEGi, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor.

Mariani menyifatkan nyanyian bersama lirik dapat menjadi salah satu bentuk terapi psikologi yang memberi ruang untuk meluahkan perasaan secara kreatif.

Menurutnya, irama dan lirik yang didendangkan mampu menenangkan jiwa dan minda sekali gus mengurangkan tekanan emosi yang terpendam.

“Apabila nyanyian dilakukan secara beramai-ramai, ia dapat membina rasa kebersamaan serta sokongan sosial yang mampu menigkatkan kesejahteraan psikologi.

“Kajian juga menunjukkan bahawa aktiviti nyanyian mampu merangsang pengeluaran hormon endorfin yang berkait rapat dengan rasa gembira dan tenang,” katanya.

Justeru, nyanyian bersama lirik atau peranan muzik itu sendiri bukan sahaja menyeronokkan, malah efektif dalam memberi kelegaan psikologi yang mendalam.

Tegas Mariani, muzik bukan sekadar hiburan semata-mata, malah menjadi alat berkuasa dalam menyokong kesihatan mental dan emosi, menjadikan ia suplemen vital bagi jiwa manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN